Gelandangan hidap kanser rayu tinggal tempat selesa - Utusan Malaysia

Gelandangan hidap kanser rayu tinggal tempat selesa

ULAM tinggal di koridor sebuah bangunan komersial di bawah Komtar, Georgetown, Pulau Pinang sejak dua tahun lalu. - UTUSAN/NOOR HASLIZA NUSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seorang gelandangan yang menghidap kanser hidung tahap empat merayu dipindahkan ke lokasi lebih selesa berikutan keadaan kesihatannya yang semakin kurang memuaskan.

Ulam Aziz, 64, berkata, dia terpaksa menjadikan sudut di koridor sebuah bangunan komersial di bawah Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Jalan Ria di sini sebagai tempat berteduh sejak dua tahun lalu.

Katanya, dia yang hidup sebatang kara kini hanya bergantung bantuan daripada rakan gelandangan lain bagi menguruskan kehidupan harian termasuk membawanya mendapatkan rawatan susulan di Hospital Pulau Pinang sejak disahkan menghidap barah hidung.

“Sebelum ini, saya bekerja mengambil upah memerah santan dan memotong daging di pasar Chowrasta serta tinggal di sebuah rumah yang disewa daripada tauke kedai selama hampir 40 tahun.

“Setelah disahkan menghidap kanser hidung tahap empat, saya tidak lagi bekerja di situ dan menjalani rawatan radioterapi di sebuah hospital kanser di Tanjung Bunga selama 20 hari.

“Tahap kesihatan saya kini semakin kritikal dan doktor memaklumkan kanser saya merebak pada bahagian mata, leher serta paru-paru,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Ulam mengakui kehidupannya kini berubah 100 peratus dan hanya mengharapkan sumbangan makanan daripada orang ramai serta bantuan kewangan dari Majlis Kanser Nasional (Makna) berjumlah RM200 setiap bulan.

“Dahulu (semasa sihat), saya juga akan berlari dengan kawan-kawan gelandangan lain bagi menyelamatkan diri daripada ditahan pihak berkuasa tetapi hari ini, saya tidak mampu lagi untuk berbuat demikian.

“Saya hanya fikir saat kematian. Saya juga banyak membaca buku-buku di ambang kematian sebagai persediaan dan tidak lupa akan pencipta-Nya.

“Saya merayu dan tidak kisah sekiranya mana-mana pihak datang memindahkan saya ke tempat yang lebih selesa untuk saya mengerjakan amalan kebaikan termasuk mengaji al-Quran,” ujarnya dalam nada sebak.

Sementara itu, Ulam turut dikunjungi sebuah badan bukan kerajaan, Surplus Pulau Pinang kira-kira pukul 10 malam kelmarin.

Pengerusinya, Sophian Mohd. Zain berkata, pihaknya telah mendapatkan kebenaran melalui pihak Zakat Pulau Pinang (ZPP) bagi membantu memindahkan sementara warga emas tersebut ke Anjung Singgah di Lebuh Chulia semalam.

Anjung Singgah ditadbir oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.