Edar dadah guna e-hailing, kurier  - Utusan Malaysia

Edar dadah guna e-hailing, kurier 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sindiket pengedaran dadah dikesan menukar modus operandi melalui perkhidmatan kurier, pengangkutan penghantaran barangan dan e-hailing susulan Pelaksanaan Perintah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Hasil siasatan dan risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) mendapati sindiket beralih kepada modus operandi itu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, sepanjang tahun lalu sebanyak 84 kes dan 103 tangkapan membabitkan sindiket pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan kurier berjaya ditumpaskan manakala sebanyak lima kes dan empat tangkapan dijalankan bagi tahun ini.

Menurut beliau, sindiket turut berselindung di sebalik pengangkutan penghantaran barang penting dan keperluan asas menggunakan lori yang membuat pergerakan rentas daerah serta negeri.

“Sindiket menggunakan perkhidmatan e-hailing pula akan menyembunyikan dadah dalam bungkusan makanan atau barang yang dihantar untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Selain itu, sindiket juga dikesan mengedar dadah melalui penganjuran parti-parti haram di kondominium mewah berikutan pusat hiburan yang tidak beroperasi ketika tempoh PKP,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, buktinya seramai 1,135 individu ditahan atas kesalahan dadah di parti haram sepanjang tahun lalu.

Jelasnya, kecanggihan teknologi terkini dilihat membawa kesan negatif dalam usaha pembanterasan dadah yang mana pembelian dadah dibuat secara dalam talian.

“Terdapat beberapa laman e-dagang popular yang menjalankan penjualan dan pembelian dadah secara terbuka di dalam talian,” katanya.

Justeru, beliau berkata, pihaknya sentiasa berusaha mengesan pelbagai bentuk kegiatan penyeludupan dadah dan pengedaran melalui siasatan maklumat risikan yang rapi serta profesional.- UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN