fbpx

Bunuh anak, pasangan suami isteri digantung

ANUAR Yusof dan Murni Ahmad dijatuhkan hukuman gantung sampai mati kerana membunuh anak perempuan mereka pada 2016, di Mahkamah Tinggi Terengganu, Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap pasangan suami isteri selepas didapati bersalah membunuh anak perempuan mereka, Siti Hajar pada 2016.

Hakim, Datuk Zainal Azman Abd. Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Anuar Yusof, 55, dan isterinya, Murni Ahmad, 40, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Bagaimanapun, mahkamah melepaskan dua lagi anak pasangan itu, Siti Sarah, 26, dan Amir Sharif, 19, daripada pertuduhan membunuh kakak mereka.

Berdasarkan pertuduhan, empat beranak berkenaan didakwa membunuh Siti Hajar yang ketika itu berusia 22 tahun di Batu 5, Jalan Air Putih, Taman Semarak, Binjai, Cukai di Kemaman pada pukul 10.45 malam, 26 April 2016.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit ke­salahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Masliela Ismail.

Pada 3 Mei 2016, media melaporkan punca kematian Siti Hajar yang berat badannya cuma 18 kilogram adalah akibat didera keluarga sendiri.

Hasil laporan bedah siasat mendapati kematiannya adalah akibat kelaparan dan jangkitan kuman di samping tubuhnya mempunyai kesan gigitan manusia. – UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!