Apabila Issey memuat naik video ‘lawatan secara virtual’ rumah di Youtube, ada yang kecam kononnya Issey menunjuk kekayaan. Komen?
Ya Allah, tiada niat pun saya nak tunjuk kaya atau berjaya. Apa yang saya ada itu semua pinjaman. Saya tiada niat pun nak tunjuk kaya, cuma mahu berkongsi ilmu.
Video itu ada dua bahagian dan jika anda tengok kedua-duanya, kandungan itu adalah saya berkongsi tips menghias rumah tanpa berhabis. Saya mahu kongsi tips berjimat sebenarnya.
Kecil hati tak bila niat Issey baik untuk berkongsi ilmu tetapi ada pihak salah anggap dan tuduh kononnya nak tunjuk kaya, rumah besar?
Tak kecil hati pun. Saya tak kisah kerana masing-masing ada pendapat sendiri. Saya tidak mampu memuaskan hati semua pihak. Apa yang saya harapkan adalah ilmu itu sampai kepada sesiapa yang memerlukan.
Saya berkongsi tips beli rumah dan menghargai aset kita. Dalam keadaan sekarang, kita perlu bijak berbelanja dan berjimat. Itu antara sebab saya berkongsi ilmu tersebut.
Malah saya juga selalu berbual dengan peminat dan turut bertukar tips serta pendapat. Itu yang saya fikir, baik juga kalau buat video. Semua boleh belajar dan mungkin mengikuti tips tersebut.
Issey kini banyak memuat naik video, adalah itu salah satu sumber pendapatan? Sementelah, YouTube menjadi pilihan anak muda dan segelintir pihak untuk menjana pendapatan.
Tidaklah. Saya memang suka buat video dan hari demi hari ada sahaja ilmu baharu yang dipelajari. Apatah lagi, di kala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana, ini masa yang sesuai.
Saya dapat meluangkan lebih masa bersama keluarga dan dalam pada masa yang sama meneruskan minat dalam menghasilkan kandungan Youtube. Lagipun saya rakam dan sunting sendiri tau.
Issey memulakan kerjaya sebagai seorang pelawak dan kini bergelar pengacara serta poenyampai radio. Bagaimana Iseey melihat kematangan kerjaya kini?
Alhamdulillah. Saya fikir ini adalah rezeki dan usaha keras. Peluang yang ada ini saya gunakan sebaik mungkin. Saya hanya menjadi diri sendiri dan sentiasa mengambil kira kritikan tidak kira baik atau buruk.
Itu penting untuk kita belajar dan memperbaiki kemahiran kita. Saya sedar, tidak semua suka kita tetapi bekerja seikhlas dan sebaik mungkin. InsyaAllah, ada ganjarannya nanti.
Bercakap soal media sosial, adakah Issey juga mengamalkan konsep berhati-hati dan berkongsi apa yang perlu sahaja? Sementelah Jabatan Netizen kini bukan boleh dijentik.
Dari dulu lagi saya memang berhati-hati dalam berkongsi gambar atau video di media sosial. Bukan takut dikecam cuma saya fikir, nama baik sendiri dan keluarga perlu dijaga.
Kita tidak boleh berkongsi 100 peratus kisah peribadi di media sosial. Ada kenangan dan memori yang kita simpan sendiri. Itu lebih bermakna.











