Anwar bidas tuduhan Tommy terhadap Tun Razak - Utusan Malaysia

Anwar bidas tuduhan Tommy terhadap Tun Razak

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim anggap buku yang ditulis bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, My Story- Justice in the Wilderness tidak mempunyai asas yang tepat dan hanya bergantung pada pandangan peribadinya.

Anwar menyangkal penegasan dibuat Tommy berhubung peristiwa 13 Mei yang mana beliau menyatakan bahawa terdapat bukti menunjukkan rampasan kuasa digerakkan bekas Perdana Menteri Malaysia, Almarhum Tun Abdul Razak.

“Hanya dengan sebatang pen, Tommy meluncurkan serangan. Mantan Perdana Menteri Kedua negara Almarhum Tun Abdul Razak tidak hanya diiktiraf sebagai penggagas dalam pembangunan negara, tetapi juga adalah sosok besar yang sangat prihatin terhadap nasib rakyat dan bangsa.

“Tun Razak juga manusia, seperti kita, dan tentunya ada kelemahannya yang tersendiri. Penting juga bagi kita sebagai masyarakat yang berfikrah kritikal untuk berhenti mengagung-agungkan tanggapan-tanggapan sejarah tertentu,” katanya dalam catatan di laman Facebook miliknya.

Dalam kenyataan itu, Anwar tidak menyalahkan Tommy yang cuba mengubah sesuatu tanggapan sejarah di masa lalu, tetapi mengingatkan kepentingan untuk kembali melihat sejarah dalam latar atau konteks yang tepat beserta analisa baru yang lebih segar.

Selain itu, turut bersuara sebelum ini adalah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Persekutuan, Datuk Salleh Buang mengulas salah satu halaman buku tersebut yang menulis berkaitan pegawai-pegawai di Jabatan Peguam Negara tidak ada komitmen, minat dan kehendak untuk berjaya.

Katanya, kesimpulan daripada kenyataan itu, Tommy menyindir pegawai-pegawai di Jabatan Peguam Negara sebagai makan gaji buta sahaja.

Anwar berpandangan, Tommy seolah-olah merendahkan kredibiliti seluruh penjawat awam sekaligus mencemarkan imej golongan tersebut.

“Tommy semacam telah melemparkan tuduhan yang sangat serius pada Jabatan Peguam Negara dengan pernyataan semacam itu dengan menggambarkan peguam-peguam di sektor awam mempunyai sikap yang tipikal, mendapat gaji yang tetap setiap bulan dan hanya mengharapkan pencen setelah bersara.

“Tommy tidak hanya menghina Pejabat Peguam Negara tetapi telah merobek imej serta reputasi keseluruhan penjawat awam di negara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya