Airasia lancar Fresh Pack, tawar diskaun 50% - Utusan Malaysia

Airasia lancar Fresh Pack, tawar diskaun 50%

PELANGGAN boleh menikmati diskaun 50 peratus sempena Tahun Baru Cina sehingga 28 Februari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Airasia Berhad menerusi cabang Airasia Fresh melancarkan cara baharu memberi barangan runcit secara dalam talian yang dinamakan Fresh Pack.

Kaedah itu menawarkan pek barangan runcit tersuai dengan harga tetap termasuk penghantaran percuma menerusi perkhidmatan penghantaran Teleport mengikut pilihan masa pelanggan.

Ketua Airasia Fresh, Maybel Chan berkata, pihaknya menawarkan kemudahan pembelian barangan runcit dengan harga berpatutan untuk produk segar seperti sayur-sayuran, buah-buahan, daging dan makanan laut menerusi platform tersebut.

“Memanfaatkan ekosistem airasia Farm, iaitu platform perniagaan-ke-perniagaan (B2B) yang menghubungkan petani terus kepada peniaga, kami dapat memberi nilai terbaik kepada pelanggan selain memberi manfaat terus kepada petani.

“Walaupun terdapat pelbagai tawaran barangan runcit, Fresh Pack kami berbeza dari segi pilihan, harga dan penghantaran percuma,” katanya dalam sidang akhbar majlis pelancaran tersebut yang dilakukan secara maya itu.

Maybel turut memberitahu, sempena Tahun Baru Cina, Airasia Fresh menawarkan diskaun 50 peratus untuk setiap pembelian Fresh Pack kedua bermula semalam hingga 28 Februari 2021 dengan pelanggan berpeluang mendapatkan beg runcit edisi terhad menerusi setiap pesanan.

Ujarnya, melalui airasia.com/fresh, terdapat nilai hebat dan pelbagai pilihan bermula daripada RM30 untuk pek sayur-sayuran hingga pek makanan laut bersaiz besar berharga RM95 dengan pilihan sehingga tujuh kilogram untuk makanan laut daripada 40 jenis.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Airasia, Tony Fernandes menjelaskan, visinya ialah untuk memudahkan orang ramai membuat pesanan di mana-mana sahaja sekitar Asia dan menerima pesanan tersebut dalam masa dua hari.

“Kebanyakan masa ketika membeli barangan runcit, kita tidak tahu dari mana asal usulnya. Melalui Fresh Pack, pelanggan boleh kenal pasti hasil segar itu datang daripada ladang kami.

“Di masa hadapan, kami ingin memperluaskan perkhidmatan ini di Indonesia dan sekitar Asia. Namun, ia akan mengambil masa yang lama kerana merupakan sesuatu yang baharu buat kami. Perlahan-lahan, kami akan berusaha ke arah itu,” hurainya.

Pada masa sama, Airasia Fresh turut menawarkan perkhidmatan penghantaran percuma tanpa had sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta menyediakan kod promo STAYHOME untuk perbelanjaan minimum bernilai RM30. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN