36,528 rumah terbengkalai di Selangor - Utusan Malaysia

36,528 rumah terbengkalai di Selangor

RODZIAH ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak 180 projek perumahan membabitkan 36,528 unit rumah mampu milik, rumah kedai dan kilang di Selangor dilaporkan terbengkalai atau bermasalah sejak 2008 sehingga Disember tahun lalu.

Keadaan itu meletakkan kira-kira 36,000 pembeli dalam dilema memandangkan sejumlah 160 daripada 180 projek terbengkalai itu merupakan projek perumahan mampu milik.

Mereka kini bukan sahaja terpaksa menanggung hutang bank tetapi juga perlu terus menanti untuk satu tempoh yang tidak pasti untuk mendiami rumah sendiri.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Rodziah Ismail berkata, berdasarkan statistik Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), 151 projek berada di bawah pemantauan LPHS sementara 29 lagi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Katanya, daripada 151 projek di bawah pemantauan kerajaan negeri, sebanyak 135 projek tidak mempunyai lesen sementara 16 berlesen manakala di bawah bidang kuasa KPKT pula semuanya berlesen.

Beliau berkata, pihaknya sudahpun menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani masalah projek terbengkalai yang dianggarkan bernilai lebih RM7 bilion itu.

Antara langkah awal yang diambil, katanya, ialah kerajaan negeri menyenarai hitam kontraktor-kontraktor yang bermasalah dan gagal menyiapkan projek masing-masing.

“Kita juga melantik kontraktor baharu untuk menyiapkan projek terbengkalai di bawah kerajaan negeri yang dijangka dapat selesai dalam tahun ini. Berkenaan pembeli pula, kerajaan negeri akan fikir untuk bayar pampasan atau langkah lain yang sewajarnya,” katanya.

Menurutnya, sesuatu projek itu akan dikategorikan sebagai terbengkalai apabila tiada sebarang kemajuan selama enam bulan di bawah perjanjian jual beli dan perlu diperakukan oleh pihak KPKT.

“Projek bermasalah pula ialah projek terbiar, kemajuan projek lewat, projek telah siap diduduki tetapi hanya diberi Sijil Layak Menduduki (CF) sementara,” jelas beliau.

Rodziah berkata, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) merekodkan kes unit rumah terbengkalai paling tinggi dengan 6,581 unit, diikuti Majlis Perbandaran Selayang (MPS)dengan 6,137 unit dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) 6,003 unit.

“PBT yang banyak merekodkan projek terbengkalai ialah MPK iaitu 48 projek yang mana 44 daripadanya melibatkan perumahan, diikuti dengan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) iaitu 33 projek dan 18 masing-masing di kawasan MPS dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj),” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×