KUALA LUMPUR: UMNO perlu menyelesaikan krisis politiknya di peringkat dalaman tanpa mengeluarkan pandangan kepada umum bagi mengelak salah faham dan manipulasi pihak tertentu.
Penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. A. Halim Sidek berkata, jika UMNO mengambil mudah soal itu, ia boleh menjadi barah kepada seluruh parti selain menjadi modal pembangkang untuk menjatuhkan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Parti itu mesti menunjukkan kesepaduan dalam kalangan ahlinya walaupun kemelut dalaman belum berakhir ditambah dengan perpecahan sokongan di dalam UMNO seperti dakwaan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini.
“Cukuplah hanya pimpinan tertinggi bersuara. Memanglah di peringkat cawangan ada banyak kenyataan tetapi ia perlulah secara rasmi dikeluarkan oleh pusat sebab kalau banyak sangat kita tidak tahu mana satu yang benar atau palsu.
“Selain itu, kerahsiaan parti juga penting. Jangan suka bercerita di ‘kedai mamak’ tentang hal-hal parti. Ini habis mesyuarat sembang lagi di merata tempat. Yang duduk di sekeliling itu siapa yang mendengar?,” soalnya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Annuar selepas pemecatannya sebagai Setiausaha Agung BN mengakui partinya berpecah kepada tiga puak terdiri daripada kumpulan yang menolak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kumpulan berada di tengah-tengah dan kumpulan yang menerima bekerjasama dengan parti diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.
Kewujudan kelompok-kelompok tersebut memperlihatkan UMNO masih buntu bagaimana mahu menyatukan semua ahlinya.
Halim berkata, di sebalik masalah itu, UMNO tidak boleh diibarat retak kerana menjadi lumrah untuk semua organisasi dan parti politik berdepan tekanan.
“Yang pasti, mereka akan kembali bertaut demi kemenangan parti pada pilihan raya umum akan datang. Perlu ingat ini semua adalah demokrasi jadi semua parti politik bersaing antara satu sama lain untuk meraih undi rakyat, jadi akan ada pihak yang berusaha memecah belahkan parti,” katanya.
Senada, pemerhati politik bebas, Arif Anwar Lokmanol Hakim pula berkata, jalan terbaik meletakkan UMNO di landasan betul ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohammad Hassan harus mengemudi parti itu dan bertanding jawatan Presiden.
Katanya, Mohammad Hassan cenderung dalam menyatukan kembali pemimpin UMNO yang berpuak untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) tetapi masih mengekalkan ‘keunggulan’ UMNO dalam pilihan raya umum sekali gus menjadi Perdana Menteri baharu.
“Ketika zaman Tok Mat (nama panggilan Mohammad Hassan) memegang UMNO sewaktu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak lagi bertugas, beliau berperanan besar menyatukan ahli UMNO ketika itu,” katanya. – UTUSAN










