PETALING JAYA: Kelompok pemain industri yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendesak kerajaan membuka ruang kepada mereka menjalankan perniagaan.
Perasaan kurang berpuas hati itu timbul selepas beberapa perkhidmatan yang dianggap ‘tidak kritikal’ seperti kedai emas dan kedai perabot diberikan kebenaran beroperasi.
Antara yang bangkit mempersoalkannya ialah pengusaha kedai gunting rambut.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia, TN. Winda Mohd. Tahir berkata, keputusan dibuat Majlis Keselamatan Negara (MKN) menekan ahlinya.
Beliau berkata, setiap ketetapan perlu bersikap adil tanpa merugikan mana-mana pihak memandangkan majoriti industri kini sedang berusaha untuk bangkit daripada kesan PKP tahun lalu.
Tambahan pula, katanya, sepanjang negara berhadapan pandemik Covid-19, belum ada laporan menyebut wujudnya kluster baharu yang berpunca dari kedai gunting rambut.
“Kami akur dengan keputusan tegas dalam mengekang penularan pandemik Covid-19 ini tetapi keputusan dibuat seolah industri kami hanya dipandang remeh dan tidak menguntungkan.
“Sebenarnya sektor ini tidak perlu dilarang, mungkin boleh hadkan masa operasi melalui temu janji sahaja dan setakat ini dapat dilihat pengusaha kedai gunting rambut patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dengan baik,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sebanyak 16 aktiviti bagi sektor perdagangan dan pengedaran di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dibenarkan beroperasi sepanjang PKP.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, aktiviti itu adalah kompleks membeli-belah, pasar raya atau pasar raya besar, farmasi atau kedai penjagaan diri, kedai serbaneka, dobi bukan layan diri, restoran dan kedai perabot.
Selain itu, turut dibenarkan beroperasi kedai emas, kedai elektrik dan elektronik, kedai buku dan alat tulis, kedai perkakas, makanan haiwan, bengkel kenderaan, penyelenggaraan dan alat ganti, pusat pengedaran dan jualan kereta serta kedai runcit pengkhususan lain seperti di stesen minyak.
Terbaharu, kerajaan membenarkan hampir lima juta murid sekolah di seluruh negara berambut panjang apabila memasuki semula sekolah di bawah Kementerian Pendidikan.
Keputusan itu secara tidak langsung memberi gambaran bahawa tiada perancangan untuk membenarkan kedai gunting rambut beroperasi dengan kadar segera.
Mengulas perkara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, isu pelajar hadir ke sekolah dengan rambut panjang bukan perkara berat. – UTUSAN ONLINE











