Tubuh IPCMC tidak akan selesai masalah rasuah - Utusan Malaysia

Tubuh IPCMC tidak akan selesai masalah rasuah

MOHAMED HANIFF KHATRI ABDULLA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Desakan untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) di Parlimen tidak berkait secara langsung dengan masalah rasuah sehingga menjejaskan kedudukan negara ini dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI), tahun lalu.

Sekalipun suruhanjaya itu diluluskan Parlimen, ia tidak menyelesaikan masalah sebenar selagi individu yang berada di dalamnya tidak menjalankan tanggungjawab dan amanah secara jujur dan telus.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, buat masa ini institusi sedia ada dalam membasmi jenayah rasuah sudah lengkap dan tiada keperluan untuk kerajaan menubuhkan suruhanjaya baharu dengan fungsi yang hampir sama.

“Usah berdolak dalih meletakkan ini (IPCMC) sebagai punca. Jangan lari daripada topik sebenar. Ia berpusat daripada ahli politik yang mempunyai kuasa dan gila kuasa.

“Tiada kena mengena pun. Kalau begitu, kita buat jugalah akta salah laku berkaitan imigresen, kastam atau peguam,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini semalam.

Khamis lalu, Malaysia jatuh di kedudukan 57 daripada 180 negara dalam CPI Transparency International (TI) 2020 dengan skor menurun dua mata kepada 51 daripada 100 mata berbanding tahun sebelumnya.

Presiden TI-M, Dr. Muhammad Mohan, mencadangkan kerajaan mempercepat pembaharuan mendesak pembentangan RUU IPCMC dan menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih bebas selain menggubal undang-undang pembiayaan dana politik untuk menghentikan politik wang.

Mengulas lanjut, Haniff berkata, meluluskan IPCMC hanya menjatuhkan moral Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas aduan dikemukakan sedangkan masih ada sebilangan ramai pihak berkuasa menjalankan tugas dengan berintegriti.

“Jangan jatuhkan semangat polis yang jujur dalam bekerja. Apabila suruhanjaya ini menjalankan siasatan, mereka tidak tahu pun macam mana urus tadbir dalam PDRM.

“Paling penting adalah ubah mentaliti semua pihak untuk bekerja dengan jujur dan itu boleh dilakukan jika pemimpin politik mengambil langkah pertama untuk berubah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN