`Tolonglah simpati barisan hadapan' - Utusan Malaysia

`Tolonglah simpati barisan hadapan’

PETUGAS barisan hadapan melakukan pemeriksaan rumah ke rumah bagi proses saringan Covid-19 di kawasan pusat perniagaan Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi Sepang.-UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Payah nak gambarkan perasaan selain penat lelah petugas barisan hadapan sepanjang membantu menguruskan pesakit Covid-19. Apa yang membuatkan mereka cekal sehingga ke hari ini adalah tanggungjawab hakiki demi membendung penularan virus yang berada pada tahap kritikal”.

Demikian perkongsian seorang bekas pesakit, Ahmed Rafsyamjani Nordin, 31, sepanjang menjalani rawatan dan pengasingan selama dua minggu di pusat kuarantin Program Perumahan Rakyat (PPR) Bubul Ria, Semporna di Sabah pada Oktober tahun lalu.

Ahmed Rafsyamjani Nordin, 31.

Katanya, tidak banyak boleh ditafsirkan terhadap riak wajah petugas barisan hadapan selain bersimpati kerana mereka terpaksa bekerja hampir 20 jam sehari dalam keadaan letih selain berjauhan dengan keluarga.

“Saya memang nampak kesungguhan mereka. Ia meruntun hati saya kerana penat yang mereka rasai amat jelas namun mereka tidak mengeluh. Petugas barisan hadapan di sini berasal dari Semenanjung dan sudah menetap di sini lebih dua bulan. Apa yang menyedihkan saya adalah mereka yang sudah berumah tangga dan ada anak tetapi terpaksa ‘berpisah’ sementara.

“Saya cukup menghormati dan menyanjung mereka kerana walaupun pesakit Covid-19 banyak kerenah, mereka tetap melayan secara profesional, sama rata dan mesra malah tidak pernah melenting disebabkan pesakit tidak hadir ketika pemeriksaan kesihatan harian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Rafsyamjani adalah salah seorang individu disahkan positif Covid-19 selepas menjalani saringan ketika ingin menyertai pasukan sukarelawan menguruskan wabak di daerah itu.

Hasrat tersebut, terpaksa ditangguhkan kerana dia menjadi kontak rapat individu positif Covid-19 sebelum diarahkan menjalani kuarantin bersama rakan-rakannya.

Sebaik sembuh, Rafsyamjani yang bekerja sebagai jurujual meneruskan hasratnya menjadi sukarelawan di Semporna sehingga kini.

“Syukur selama tempoh rawatan, saya tiada gejala sama ada demam atau selesema. Saya selalu berfikiran positif tidak akan berlaku perkara yang serius terutama jika melibatkan keluarga, cuma nasihat saya kepada orang ramai, bantulah barisan hadapan. Jangan menyusahkan mereka dan merasakan diri sudah kebal jangkitan. Patuhi SOP (prosedur operasi standard),” katanya.

Kelmarin, kes harian Covid-19 mencatatkan rekod tertinggi iaitu 4,029 kes menjadikan kes positif di negara meningkat kepada 155, 095 setakat ini.

Bagi Amirah Amir Hamja, 27, dia tidak dapat menahan sebak dan simpati terhadap barisan hadapan yang bekerja sehingga pukul 2 pagi untuk mengurus bilik kuarantin dan kelengkapan asas kerana jumlah pesakit yang dihantar ke PPR Bubul Ria mencecah hampir 200 orang dalam sehari pada Oktober tahun lalu.

Amirah Amir Hamja, 27.

Amirah yang bergejala ringan seperti selesema ketika itu berkata, sampai satu tahap, petugas barisan hadapan terpaksa bekerja secara bergilir-gilir pada waktu siang dan malam dengan jumlah tenaga yang tidak mencukupi.

“Apa yang mereka lakukan adalah tanggungjawab untuk negara dan keselamatan rakyat. Jangan mengambil mudah soal ini. Elakkan tempat yang sesak dan orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Noor Mohd. Sham, 35, yang didiscaj pada 15 Januari lalu selepas menjalani rawatan Covid-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) berkata, rawatan yang diberikan barisan hadapan bertaraf kelas pertama melihat kepada kelengkapan fasiliti dan sentiasa memberikan semangat kepada pesakit.

 

“Setiap kali ada pesakit baharu masuk ke sini, semua pesakit dan barisan hadapan akan bersorak sebagai ‘menyambut’ ketibaan mereka dan menunjukkan bahawa keadaan di sini baik, terkawal dan mengubah persepsi bimbang pesakit,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Hospital Semporna, Dr. Mohd. Syahfadzreen Yunus berkata, petugas barisan hadapannya akan sentiasa bersiap sedia jika berlaku peningkatan kes secara mendadak di daerah itu.

Buat masa ini, katanya, Hospital Semporna masih mampu bertahan untuk menampung bilangan pesakit Covid-19 berdasarkan unjuran kes di Semporna yang masih terkawal selain hanya 15 kes setakat kelmarin dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan.

“Kita masih bimbang dengan peningkatan. Harap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini berjaya dengan sokongan dan kerjasama masyarakat.

“Kita belajar daripada pengalaman sebelum ini dalam mengendalikan situasi yang lebih teruk sewaktu September dan Oktober tahun lalu. Pengalaman itu banyak bantu kita untuk mengurus kes di sini.

“Nasihat saya supaya masyarakat sentiasa patuh SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara. Duduk di rumah jika tiada keperluan untuk keluar,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN