75% pesakit Covid-19 di Selangor belum divaksin - Utusan Malaysia

75% pesakit Covid-19 di Selangor belum divaksin

SITI MARIAH MAHMUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kira-kira 75 peratus daripada pesakit Covid-19 yang sedang dirawat di hospital termasuk di unit rawatan rapi (ICU) di negeri ini didakwa belum menerima vaksin.

Baki 25 peratus yang lengkap menerima vaksin dikatakan membabitkan golongan komorbid iaitu individu menghidap penyakit-penyakit kritikal seperti kencing manis dan kegagalan buah pinggang.

Peratusan tidak menerima vaksin adalah angka besar kerana mengikut data kes harian pesakit Covid-19 dimasukkan ke hospital oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan dalam tempoh dua minggu bulan lalu dilaporkan seramai 2,000 hingga 3,000 pesakit dimasukkan ke hospital di negeri ini.

Mengikut laporan sama, dalam tempoh tersebut, penggunaan katil di ICU mencatatkan melebihi 70 peratus dan pada 30 September lalu, jumlah penerima rawatan di ICU seramai 213 orang atau bersamaan dengan 77 peratus.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, pihaknya tiada data terperinci berkenaan jumlah sebenar individu di negeri ini yang enggan divaksin.

Bagaimanapun, menurut beliau, daripada maklumat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak yang dianjurkan kerajaan negeri kurang mendapat sambutan.

“Statistik yang saya lihat dua minggu lepas, tiga per empat daripada yang dijangkiti Covid-19 dan dimasukkan ke wad di Selangor adalah mereka yang tidak divaksin. Saya rasa angka itu mungkin hampir sama dengan negeri lain. Yang masuk ICU juga begitu.

“Jadi, satu per empat lagi, adalah mereka yang telah divaksin sama ada dua atau satu dos. Kalau dikaji balik, daripada maklum balas yang diterima, yang divaksin kalau teruk adalah mereka yang komorbid,” kata beliau mengulas mengenai kemasukan pesakit Covid-19 di Selangor.

Katanya, berdasarkan angka pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital itu, sepatutnya memberikan kesedaran kepada golongan aktivaksin untuk segera berbuat demikian.

Siti Mariah memberitahu, terdapat pelbagai faktor menyebabkan golongan tersebut menolak vaksin dan mereka terdiri daripada tiga kelompok iaitu antivaksin, berfikiran vaksin dibuat dalam masa singkat dan percaya kepada ideologi Barat mengenai risikonya.

“Jadi, kadang-kadang apabila keluar dalam akhbar dan media sosial perkara itu selalunya ‘separuh masak’. Saya rasa kebanyakan mereka ada defisit dalam kepercayaan dan keyakinan kepada kerajaan dan Kementerian Kesihatan yang disebabkan banyak faktor,” ujarnya.

Mengulas mengenai arahan Kerajaan Persekutuan kepada penjawat awam wajib menerima vaksin sebelum 1 November, beliau berkata, perkara sama sedang diteliti oleh kerajaan negeri.

“Tetapi itu bukanlah syor daripada saya, cuma mereka melihat dari sudut logistik, bagaimana hendak mentadbir apabila orang tak datang kerja. Kita tunggulah (pelaksanaan) kerajaan Persekutuan, sebab kita juga ada mengutarakan perkara transmissibility (kebolehan penularan).

“Tetapi, kalau Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) mengatakan tidak ada beza dalam transmissibility antara orang vaksin dengan orang tidak vaksin, mungkin mereka (perjawatan kerajaan negeri) akan melonggarkan, tetapi bergantung juga kepada keputusan Kementerian Kesihatan,” jelasnya.

Baru-baru ini, dilaporkan kira-kira 300 guru sekolah menengah atau 0.7 peratus daripada 61,000 individu dalam profesion tersebut didakwa enggan menerima vaksin.

Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga menzahirkan rasa dukacita terhadap guru kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), jurunikah dan pegawai masjid yang enggan menerima vaksin, lebih-lebih lagi apabila hanya 203 orang daripada 873 orang yang diberikan temu janji untuk terima suntikan vaksin hadir di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 22 September.

Baginda bertitah akan meneliti nama guru KAFA, pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin sebelum tindakan ke atas mereka ditentukan kelak.

Susulan itu, pada 27 September lalu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohd. Shahzihan memberitahu sudah mengenal pasti senarai nama individu yang terus enggan menerima vaksin untuk dipersembahkan kepada Sultan Sharafuddin. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN