Pesakit Covid-19 turut bimbang masyarakat sekeliling - Utusan Malaysia

Pesakit Covid-19 turut bimbang masyarakat sekeliling

SITI Fatimah Zohari semasa menjalani kuarantin di Hospital Pulau Pinang (HPP), Georgetown, Pulau Pinang Januari lalu. - UTUSAN/NOOR HASLIZA NUSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Disahkan positif Covid-19 sudah cukup merisaukan dan kebimbangan terhadap pandangan serta teguran sinis masyarakat sekeliling menambahkan lagi kerunsingan.

Itu yang dilalui ibu kepada dua cahaya mata, Siti Fatimah Zohari, 31, yang tidak menyangka permulaan tahun baharu 2021 adalah tempoh yang sukar dilupakannya apabila disahkan positif wabak tersebut pada 13 Januari lalu.

Menurutnya yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di Bayan Lepas, biarpun tahap jangkitannya dilaporkan tidak begitu serius, ia tetap memberi kesan mendalam pada jiwanya.

“Saya berasa tertekan juga pada mulanya sejurus menerima panggilan daripada pihak pengurusan kilang pada 13 Januari lalu selepas sehari menjalani ujian saringan Covid-19.

“Fikiran saya terus tertumpu kepada dua anak yang masih kecil berusia dua dan empat tahun. Perasaan itu berlarutan sehinggalah saya dibawa menaiki ambulans ke Hospital Pulau Pinang (HPP) pada malam keesokannya.

“Sebaik sahaja menjejak kaki di ruang hospital, pelbagai perasaan mula bermain di fikiran termasuk bimbang orang salahkan saya kerana tidak patuh prosedur operasi standard (SOP),” luahnya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Bagaimanapun katanya, dia amat bersyukur kerana suami dan ahli keluarganya sentiasa memberi sokongan moral dari awal disahkan positif Covid-19 sehinggalah pada hari terakhir menjalani kuarantin di HPP.

“Saya memang positif dengan apa yang berlaku termasuk mengambil iktibar daripada pengalaman adik saudara berusia 21 tahun yang terlebih dahulu disahkan positif wabak itu hujung Disember tahun lalu.

“Kesannya terhadap jiwa pesakit memang mendalam. Saya masih tidak dapat lupakan ada seorang pesakit yang tidak mahu keluar dari rumah apabila ambulans tiba di hadapan kediamannya gara-gara malu berdepan dengan jiran tetangga yang mula bercakap mengenainya,” ujarnya.

Siti Fatimah berkata, pada awal menghidap wabak itu dia mengalami demam biasa disusuli sakit badan, batuk, hilang selera makan dan selesema selama lima hari.

Sementara itu, seorang lagi bekas pesakit Covid-19 yang juga pelajar kolej, Anis Syahirah Abu Suffian, 20, memberitahu, dia menangis seharian di dalam bilik selepas disahkan positif Covid-19 kerana bimbang dengan kesihatan keluarga termasuk tiga adiknya yang masih kecil.

“Saya berdepan kemurungan sebaik sahaja mengalami simptom-simptom virus tersebut selepas pulang dari Kuala Lumpur. Saya hilang selera makan, deria bau dan rasa, badan menjadi lesu serta sakit kepala yang berlarutan.

“Hanya mereka yang melalui pengalaman disahkan positif yang mengetahui kesengsaraannya selain terpaksa berjauhan dengan keluarga serta tinggal dalam komuniti pesakit yang ramai,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anis turut menasihati orang ramai tidak sesekali keluar dari rumah atau ke tempat awam sekiranya tiada keperluan disebabkan penangan Covid-19 sememangnya memberi impak kepada kesihatan mental. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN