Tinggalkan budaya hedonisme – Mufti - Utusan Malaysia

Tinggalkan budaya hedonisme – Mufti

LUQMAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tinggalkan budaya hedonisme (mementingkan keseronokan). Semoga dengan bermulanya lembaran baharu pada tahun 2021 ini, semua umat Islam dan rakyat menggunakan segala peluang yang ada dengan menggandakan usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT pada saat seluruh dunia diuji dengan pandemik Covid-19.

Itu perkongsian azam baharu tahun 2021 yang dikongsikan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Luqman Abdullah.

Belaiau berkata, tahun baharu 2021 wajar diisi dengan program-program yang bermanfaat antaranya mengimarahkan masjid, menghadiri program-program ceramah, forum ilmu keagamaan dan sentiasa berdoa memohon kesejahteraan daripada Allah SWT.

Dalam keadaan seluruh negara belum pulih rentetan pandemik Covid-19 yang mencecah lebih 100,000 kes jangkitan, beliau bagaimanapun yakin dan percaya masih ada peluang serta harapan untuk keadaan dapat kembali seperti biasa.

“Saya berharap berlaku perkembangan keadaan yang lebih baik terutama dalam hal wabak ini dan semoga tahun ini memberikan kita semua idea baharu yang lebih bernas dan baik dalam menguruskan hal-hal berkaitan Covid-19.

“Kita banyakkan beribadah kepada Allah SWT dan bukan lagi mengamalkan budaya hedonisme dan bersuka ria. Sekarang ini kita memerlukan satu rahmat daripada-Nya untuk menghilangkan segala ujian yang kita hadapi,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Kelmarin, kerajaan memutuskan untuk tidak menganjurkan sebarang sambutan ambang tahun baharu 2021 pada lewat malam semalam di seluruh negara walaupun tahun ini sudah genap lima tahun ia diadakan.

Ia susulan kerajaan bimbang kes positif Covid-19 akan meningkat akibat ramai yang dijangka tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

ABDUL RAHMAN OSMAN

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman menyeru seluruh umat Islam bersatu padu dan menjadikan tahun baru 2021 sebagai hari kesyukuran atas segala nikmat dan rahmat yang dikurniakan Allah SWT kepada negara tercinta walaupun diuji dengan krisis kesihatan global.

Beliau turut menyarankan semua pihak mengajak diri dan ahli keluarga bermuhasabah segala peristiwa dilalui sepanjang setahun lalu serta menetapkan azam baharu untuk dicapai pada tahun mendatang terutama dalam mencapai reda Allah SWT.

“Kita melalui fasa-fasa mencabar sepanjang setahun dibelenggu dengan wabak Covid-19. Kita jadikannya sebagai pengajaran dan sentiasa melihat ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku.

“Laluilah perjalanan tahun ini dengan penuh keinsafan dan jangan leka dengan setiap SOP ditetapkan kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN