Sindiket penipuan pelaburan 'suka dan kongsi' tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket penipuan pelaburan ‘suka dan kongsi’ tumpas

NOR Omar Sappi (dua dari kiri) menunjukkan barang rampasan sindiket penipuan pelaburan 'like and share' pada sidang media di IPD Manjung hari ini. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Polis menumpaskan sindiket penipuan pelaburan ‘suka dan kongsi’ secara dalam talian yang menyasarkan mangsa penduduk di India dalam satu serbuan di sebuah rumah teres di Ayer Tawar, dekat sini pada pukul 9 malam Jumaat lalu.

Dalam serbuan itu, polis menahan 11 warga tempatan termasuk dua pelajar serta sembilan warga China, dengan semua suspek terdiri daripada 12 lelaki dan lapan perempuan berusia antara 18 tahun hingga 45 tahun.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, polis merampas 57 unit telefon bimbit dan lapan komputer riba yang digunakan dalam penipuan itu yang menyasarkan pengguna Facebook.

“Modus operandi sindiket ini adalah menghantar mesej melalui Facebook Messenger kepada mangsa yang disasarkan menggunakan bahasa Cina yang kemudian diterjemahkan oleh Google ke dalam bahasa Hindi,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, di sini hari ini.

Katanya, menerusi mesej itu sindiket tersebut menawarkan pembayaran dengan jumlah tertentu jika menekan tanda ‘suka’ dan ‘kongsi’ terhadap apa sahaja yang dipaparkan sindiket itu khususnya klip video.

Menurutnya, sindiket itu menawarkan bayaran sebanyak 22 Rupee (RM1.20) untuk kali pertama sebagai ‘umpan’ sebelum meminta mangsa membeli pakej disediakan pada kadar harga tertentu jika mahu menerima bayaran selanjutnya.

Katanya, apabila mangsa membeli pakej disediakan, mereka menerima bayaran yang jumlahnya jauh lebih rendah daripada pakej dibeli untuk tempoh tertentu sebelum akaun mereka ditamatkan secara tiba-tiba.

Nor Omar berkata, sindiket itu dipercayai t beroperasi di premis terbabit kira-kira dua bulan bermula pukul 11.30 pagi hingga 11.30 malam dengan menawarkan gaji antara RM2,000 hingga RM7,000 sebulan kepada warga tempatan yang terlibat.

Katanya, sindiket itu juga menggunakan akaun bank beberapa penduduk di negara India yang sanggup menjadi ‘keldai akaun’ bagi urusan pembayaran dan penerimaan wang sindiket itu.

“Sindiket ini ditumpaskan hasil risikan polis kira-kira dua minggu dan semua suspek direman enam hari sehingga Khamis ini.

“Semua suspek tiada rekod lampau dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, sebatan atau dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan,” katanya.

Menurutnya, ketika serbuan juga tidak menemui dokumen pengenalan diri semua suspek warga China dan siasatan lanjut masih diteruskan termasuk bilangan mangsa terlibat serta jumlah kerugian. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.