KUALA LUMPUR: “Kalau ada orang kita kena tahan di penjara-penjara di negara bukan Islam, segeralah ambil tindakan sewajarnya.”
Demikian rayuan anggota kumpulan Fotograf, Sham Ahmad, 55, atau dikenali sebagai Ringgo ketika memberi maklum balas terhadap laporan Utusan Malaysia mengenai keadaan kira-kira 2,000 banduan Malaysia yang kini menghuni di 40 penjara di seluruh dunia.
Menerusi Akta Pemindahan Antarabangsa Banduan 2012 (ITOP), Jabatan Penjara kini sedang mengusahakan program pemindahan banduan Malaysia yang ditahan di luar negara bagi menjalani baki hukuman di tanah air.
Menurut Ringgo kepada Utusan Malaysia, amalan budaya dan agama Islam perlu dijelaskan segera sebaik tangkapan membabitkan rakyat Malaysia oleh mana-mana negara bukan Islam.
Katanya, perkara itu penting bagi memastikan tahanan terutama yang beragama Islam mendapat layanan sewajarnya lebih-lebih lagi menyentuh soal pemakanan dan bukannya untuk mencampuri urusan pentadbiran undang-undnag negara berkenaan.
Ringgo yang pernah ditahan di Penjara El-Rodeo II, Venezuela berkata, kerajaan perlu menghantar setiap wakil ke negara terbabit bagi memastikan maklumat lengkap berhubung penahanan diperoleh.
“Jangan letakkan terus kesalahan walaupun mereka baru ditahan. Kerajaan sendiri perlu pergi jumpa kedutaan untuk bertanya khabar dan mendapatkan perkembangan maklumat individu ditahan.
“Malah kita juga perlu terangkan budaya dan cara hidup Islam kerana mereka pun mungkin tidak tahu halal haram. Jika boleh kita mahu penjara di sana bagi sahaja tahanan beragama Islam untuk makan ikan dan telur,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Timbalan Komisioner Jabatan Penjara Malaysia, Hafidz Othman berkata, ITOP diwujudkan bagi memastikan kebajikan semua banduan terbela kerana masing-masing perlu mengikuti acuan program pemulihan yang berbeza dari segi budaya, agama dan bahasa di negara asal.
Ringgo ditahan di Venezuela setelah mendakwa dirinya dianiaya individu yang meletakkan dadah di dalam bagasinya ketika ingin ke Sepanyol.
Ringgo ketika menceritakan pengalamannya ketika ditahan di luar negara berkata, sebagai orang Islam seseorang individu tahu apa yang perlu dilakukan ketika dalam tahanan.
“Kita tiada pilihan dan ia merupakan darurat. Tiada makanan yang patuh syarak terutama membabitkan daging lembu atau ayam. Makan hanya untuk hidup ketika dalam tahanan,” katanya.
Dalam pada itu, peguam terkenal, Datuk Hasnal Rezua Merican menggesa kerajaan melaksanakan ITOP termasuk memindahkan banduan warga asing di sini untuk melunaskan baki hukuman di negara asal masing-masing sekali gus mengurangkan kesesakan penjara di negara ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, gesaan itu dilihat wajar bagi mengurangkan kos perbelanjaan dan logistik terhadap warga asing yang meringkuk di sini.
Katanya, perbezaan tatacara kehidupan bagi orang Melayu Islam terutama soal makanan yang diragui status halalnya menuntut kerajaan untuk menyegerakan undang-undang tersebut.
“Ia juga realistik kerana di penjara tempatan banduan mempunyai sistem sokongan seperti ahli keluarga yang boleh melawat dan memberi kata semangat. Tidak adil kita menerima kemasukan warga asing yang melakukan kegiatan jenayah kemudian kerajaan terpaksa menanggung kos sepanjang pemenjaraan mereka.
“Yang membimbangkan apabila banduan negara-negara maju melakukan jenayah di negara mundur yang menekan mereka untuk membelanja dana lebih semata-mata menghukum mereka sedangkan banduan ini boleh saja meneruskan baki hukuman di negara asal,” katanya. – UTUSAN










