Rezeki rawatan IVF 18 Mac 2020 - Utusan Malaysia

Rezeki rawatan IVF 18 Mac 2020

SUHELMY Zakaria, Fatimah Omar (tengah) dan Zalila Ismail bersama bayi kembar tiga ketika ditemui di Kampung Durian Gasing, Jelebu, Negeri Sembilan, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Jika tarikh 18 Mac 2020 diingati sebagai tarikh bermulanya penguatkuasaan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini, namun bagi pasangan suami isteri, Suhelmy Zakaria, 40, dan Zalila Ismail, 37, tarikh itu adalah permulaan detik manis sepanjang 14 tahun perkahwinan mereka.

Zalila pada tarikh itu menjalani proses pemindahan embrio bagi rawatan persenyawaan in vitro (IVF) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Ia adalah rawatan kali kali kedua setelah kali pertama di sebuah hospital swasta di Shah Alam, Selangor tidak membuahkan hasil pada 2017.

Hasil rawatan itu, pasangan suami isteri berkenaan dikurniakan bayi kembar tiga atau triplet iaitu seorang perempuan dan dua lelaki pada 14 Oktober lalu.

Luthfiya Ayra yang seberat 1.4 kilogram dilahirkan pada pukul 1.02 petang; Muhammad Luthfi Aydan seberat 1.3 kilogram (1.04 petang) dan Muhammad Luthfi Aydeen seberat 1.5 kilogram pada pukul 1.07 petang.

Menurut Zalila, tripletnya itu dilahirkan lebih awal dari tarikh yang dijangka iaitu pada 5 Disember lalu susulan bacaan denyutan jantung bayi tiba-tiba rendah.

“Aydeen dimasukkan ke unit rawatan intensif neonatal (NICU) bagi rawatan selama 23 hari diikuti kakak dan abangnya yang menjalani rawatan di unit berkenaan selama 32 hari sebelum dibenarkan pulang.

“Alhamdulilah, dalam usia hampir tiga bulan, ketiga-tiganya kini sudah mencecah berat tiga kilogram,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Durian Gasing, dekat sini, semalam.

Ditanya pengalaman sebelum dikurniakan zuriat tersebut, Zalila memberitahu, dia dan suaminya sudah mencuba pelbagai kaedah sama ada secara saintifik melalui perubatan serta ubat-ubatan mahupun tradisional menerusi urutan bagi mendapatkan cahaya mata.

“Saya sertai kumpulan IVF di Facebook dan terbaca kejayaan sepasang suami isteri setelah mendapatkan rawatan IVF di PPUM awal tahun ini. Jadi, saya dan suami tekad mencuba buat kali kedua pada Januari tahun ini (2020) dan mula menjalani rawatan pada awal Mac.

“Daripada 12 telur yang dikeluarkan dari ovari untuk proses disenyawakan, enam daripadanya berjaya disenyawakan dan pada 18 Mac lalu, dua daripada embrio berkenaan dimasukkan ke dalam rahim saya,” katanya.

Zalila berkata, dia tidak menyangka kedua-dua embrio berkenaan melekat di rahimnya bahkan satu daripada embrio berkenaan berpecah menjadikan mereka suami isteri dikurniakan kembar tiga atau triplet.

Dia sangat bersyukur percubaan kali keduanya itu dengan kos kira-kira RM11,000 membuahkan hasil dan bukan hanya memberi semangat serta harapan buatnya, bahkan tentunya buat pasangan lain yang sudah lama mendirikan rumah tangga namun masih tidak dikurniakan rezeki anak.

“Selepas hamil termasuk setelh melahirkan anak, saya banyak menerima pesanan di media sosial yang meminta saya berkongsikan pengalaman dan lokasi melakukan IVF.

“Apa yang saya kongsikan adalah mereka perlu mencuba segera IVF dan selepas menjalani rawatan berkenaan mereka perlu menjaga pemakanan seperti mengurangkan pengambilan makanan pedas, berempah dan air gas,” katanya.

Ujar Zalila lagi, dia juga mengamalkan pemakanan sunnah seperti kurma, kismis dan minum air zam zam selepas menjalani rawatan berkenaan.

“Buat masa ini, saya menetap bersama mak (Fatimah Omar, 71) bagi menguruskan tiga anak memandangkan rumah kami terletak di kawasan perumahan serta bimbang tangisan bayi kembar tiga di waktu malam menganggu waktu rehat jiran-jiran,” katanya berseloroh.

Bagi Suhelmy pula, dia sangat bersyukur apabila doanya agar mereka suami isteri dikurniakan zuriat sebagai penyeri keluarga termakbul pada tahun 2020.

Menurutnya yang bekerja sebagai kakitangan Jabatan Kesihatan, pelbagai cabaran serta dugaan ditempuh mereka suami isteri terutama bagi meneruskan rawatan semasa berlakunya pendemik Covid-19 di negara ini.

“Selepas kejayaan pemindahan embrio berkenaan dan embrio melekat, saya serahkan segalanya kepada Allah SWT dan Alhamdulilah, Dia permudahkan.

“Kami juga kini mengikut saranan doktor bagi mengelak menerima kunjungan orang ramai bagi menziarahi bayi kembar tiga kami berikutan pendemik Covid-19 ini,” katanya.

Menurutnya, ramai kenalannya serta sanak saudara memahami keadaan pendemik Covid-19 ini dan tidak berkecil hati dengan tindakan mereka.

“Malah ada juga kini kembali bersemangat meneruskan usaha untuk mendapatkan zuriat setelah mengetahui kami berjaya dikurniakan rezeki ini.

“Kami memahami perasaan berkenaan kerana kami juga pernah melalui fasa seperti mereka dan setiap kali mendengar atau terbaca kisah pasangan suami isteri yang sudah lama menunggu zuriat berjaya mendapat zuriat, kami mulai bersemangat kembali,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×