PUTRAJAYA: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak boleh diadakan serentak sekiranya pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri berlaku bersekali walaupun dalam tempoh pandemik Covid-19.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, bagaimanapun kedua-dua pilihan raya itu hanya boleh dilaksanakan dengan syarat semua pihak boleh memberikan kerjasama sepenuhnya untuk mematuhi norma baharu dan Garis Panduan Pencegahan Covid-19 dalam pilihan raya.
Beliau berkata, suruhanjaya itu bertanggungjawab melaksanakan pilihan raya berdasarkan kepada bidang kuasa SPR di dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu satu pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran Parlimen atau DUN.
Persoalan timbul bagaimanakah pelaksanaan PRU-15 boleh diadakan apabila sejumlah besar 15.3 juta pemilih layak akan keluar mengundi mengikut prosedur operasi standard (SOP), sedangkan kerajaan sebelum ini menangguhkan tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) akibat pandemik itu.
Dalam hal itu, menurut Abdul Ghani, SPR bekerjasama rapat dengan jabatan dan agensi berkaitan seperti Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk sebarang pelaksanaan kawalan berkuat kuasa dari semasa ke semasa selaras dengan apa-apa arahan terkini di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Bagaimanapun, beliau memberitahu, kos pelaksanaan PRU-15 dan PRN Sarawak bertambah kepada RM1.7 bilion yang dianggarkan sebanyak RM1.5 bilion bagi PRU-15 manakala RM200 juta bagi PRN Sarawak.
Kata beliau, kos berkenaan meliputi perolehan pembelian dan sewaan peralatan pilihan raya, keperluan peralatan dan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), logistik, elaun petugas pilihan raya dan keperluan-keperluan lain yang berkaitan.
“Perbelanjaan ini turut mengambil kira keperluan peralatan mengikut garis panduan pencegahan Covid -19.
“SPR sentiasa bersedia untuk mengadakan pilihan raya sebagaimana pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini seperti taklimat kepada pegawai pengurus, persediaan logistik dan peralatan serta penyediaan sistem dan dokumen untuk kegunaan pilihan raya,” katanya.
Sebelum wabak Covid-19, PRU-14 lalu menelan belanja kira-kira RM500 juta manakala PRU berikutnya dianggarkan melibatkan perbelanjaan antara RM750 juta hingga RM800 juta.
Semalam Majlis Tertinggi UMNO menggesa agar PRU-15 dapat diadakan sebelum suku pertama tahun ini berakhir bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat, namun ia tertakluk kepada keadaan Covid-19.
Namun, dua menteri Kabinet UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Khairy Jamaluddin yang bukan ahli Majlis Tertinggi parti itu menyuarakan rasa tidak setuju desakan untuk mengadakan pilihan raya.
Dalam pada itu, Abdul Ghani memberitahu, pelaksanaan umur pengundi 18 tahun masih belum dikuatkuasakan dan pindaan itu perlu dilaksanakan bersekali dengan pendaftaran secara automatik.
Justeru, tiada maklumat jumlah pengundi golongan itu dalam Daftar Pemilih SPR buat masa ini.
Mengulas mengenai pelaksanaan PRU dalam pandemik Covid-19 sebagaimana diamalkan di Singapura dan negara-negara lain, beliau berkata, SPR sentiasa mempunyai ruang untuk penambahbaikan untuk melaksanakan pilihan raya yang cekap dan telus.
Namun, pada masa sama, katanya, keselamatan semua pihak juga sangat penting dalam risiko penularan wabak itu.
“Oleh itu, SPR perlu memastikan proses pilihan raya di Malaysia adalah wajar dan mematuhi akta dan peraturan pilihan raya serta Garis Panduan Pencegahan Covid-19 yang ketat,” katanya.











