PRU-15: Fokus dahulu banjir, Covid-19 - Utusan Malaysia

PRU-15: Fokus dahulu banjir, Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak perlu menjadi keutamaan buat masa ini ketika negara masih berdepan penularan Covid-19 yang meningkat secara mendadak serta bencana banjir yang berlaku di beberapa negeri.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kerajaan perlu memastikan kedua-dua isu tersebut ditangani terlebih dahulu sebelum melihat keperluan mengadakan PRU-15 dalam masa terdekat.

Ketika ditanya kewajaran atau kesesuaian untuk segera mengadakan juga PRU-15, Dr. Adham mencadangkan satu tinjauan pendapat dalam kalangan masyarakat perlu diadakan. 

“Kita (kerajaan) hari ini fokus kepada isu ‘double trouble’ iaitu bukan sahaja masih berdepan Covid-19 tetapi juga banjir di beberapa negeri termasuk Johor ketika ini.

“Kena buat survey, media boleh bantu,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Pusat Pengumpulan Darah Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat pada Rabu antaranya menggesa PRU-15 diadakan sebelum berakhir suku pertama tahun ini bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat, namun tertakluk kepada keadaan Covid-19.

Mengulas lanjut, Dr. Adham berkata, sekiranya fokus utama tidak diberikan terhadap banjir dan Covid-19 dibimbangi akan mencetuskan kluster baharu iaitu kluster pusat pemindahan sementara (PPS) sekali gus memburukkan lagi keadaan.

“Kita mahu elak Covid-19 daripada menular di PPS dan untuk itu kita perlu tempatkan ramai petugas supaya dapat memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi di semua PPS. Kita tidak mahu wujud Kluster PPS,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, negara kini berdepan kekurangan penyumbang darah yang merosot hampir 30 hingga 40 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya disebabkan faktor pandemik Covid-19.

Pada 2019 katanya, seramai 743,892 orang menderma darah dan daripada jumlah itu, seramai 77,343 adalah dari Johor manakala penerima darah pula seramai 417,739 orang di seluruh negara.

“Namun, angka itu mencatatkan penurunan sepanjang tahun lalu disebabkan Covid-19 dan kini kita dalam usaha untuk mendapatkan bekalan darah yang optimum bagi tahun ini agar mencukupi dan boleh dijadikan simpanan untuk kecemasan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN