Penyelidik mahu kejar pangkat - Utusan Malaysia

Penyelidik mahu kejar pangkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Banyak hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) penyelidik termasuk di universiti terperap dan tidak dikomersialkan kerana kajian yang dihasilkan semata-mata untuk mengejar pangkat, jawatan tinggi serta mendapatkan ijazah doktor falsafah (PhD).

Kebanyakannya dihasilkan bukan bersifat kegunaan, sebaliknya lebih kepada pengembangan ilmu menyebabkan sukar dikomersialkan dalam jangka masa cepat oleh industri.

Mengakui perkara tersebut kepada Utusan Malaysia, Felo Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr. Madeline Berma berkata, kebanyakan penghasilan R&D oleh penyelidik tempatan hanya sekadar ‘batu loncatan’ tempoh tertentu sehingga mengakibatkan dapatan kajian tidak dapat dikomersialkan.

Akibatnya kata beliau, kurang nilai komersial menyebabkan ia tidak dapat dimanfaatkan oleh pemain industri dan masyarakat sama ada di negara ini atau di peringkat antarabangsa.

“Ini (R&D) bagus untuk capasity building, cuma di pihak kami sebagai penilai tidak pun me­ngatakan adakah penyelidikan dan inovasi itu berguna untuk masyarakat? Apa yang pen­ting, adakah penyelidik itu sudah memenuhi syarat dan kelayakan untuk mendapatkan PhD mereka? Adakah benar mereka sudah menjangkaui ufuk ilmu?

“Tidak semestinya bidang baharu yang ditemui penyelidik mampu menyelesaikan sesuatu masalah yang berlaku, mengambil contoh isu banjir yang berlaku di negara ini. Sebab itulah kalau seseorang menulis kajian dalam bidang Sains Sosial, mungkin sedikit sukar untuk mereka naik pangkat sebab ia bukan bersifat aplikasi seperti mana ilmu sains gunaan yang lebih ke depan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jumlah R&D yang terperap serta senarai universiti yang terlibat.

Katanya, walaupun nilai kebolehpasaran hasil R&D itu kurang, semua pihak tidak boleh menafikan bahawa hasil kajian dijalankan masih mempunyai nilai dari segi akademik yang berguna untuk ahli-ahli seperti bakal penyelidik dalam membuat petikan kajian, pensyarah dan penuntut universiti.

“Jangan kata ia (R&D) tidak penting kerana ia tetap berguna untuk penambahan ilmu, cuma kekangannya ialah tidak dapat diaplikasikan. Sebab itulah kerajaan harus menggalakkan penyelidik menghasilkan kajian yang diperlukan oleh khalayak dan menambah peruntukan untuk penyelidikan yang boleh diguna pakai apatah lagi untuk menyelesaikan masalah negara.

Isnin lalu, akhbar ini melaporkan pendedahan tokoh pendidik, Tun Dr. Arsyad Ayub terhadap kualiti lebih 2,500 profesor negara ini yang dikatakan tidak mencapai standard yang diharapkan.

Justeru katanya, dengan kerjasama antara kumpulan profesional dan profesor, diharapkan lebih banyak artikel penyelidikan membabitkan idea di luar kotak dihasilkan seterusnya memberi sumbangan besar kepada masyarakat.

Setiausaha Agung, Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof. Dr. Abdullah Mohd. Zin pula berkata, kebanyakan penyelidikan oleh ahli akademik di negara ini dan negara lain bersifat fundamental atau pengembangan ilmu tanpa membangunkannya.

Mengambil contoh di Korea Selatan, Abdullah berkata, faktor utama yang mendorong kejayaan negara berkenaan di­sebabkan kewujudan banyak syarikat tempatan yang dibangunkan hasil daripada insentif dan galakan melalui penyelidikan tempatan.

“Tidak sukar untuk mengkomersialkan penyelidikannya tetapi ia mestilah berskala besar agar lebih ekonomik, cuma ia memerlukan pelaburan yang besar. Untuk menjayakan penyelidikan, strategi kita mesti selari dengan pembangunan syarikat tempatan dan galakan produk jenama tempatan.

“Pada masa ini terdapat beberapa inisiatif yang dilakukan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta beberapa kejayaan telah dicapai namun sangat sedikit jika dibandingkan dengan bilangan penyelidikan yang dilakukan setiap tahun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya