GEORGETOWN: Trend pembelian minyak masak peket di pasaran kini semakin meningkat dalam kalangan pengguna sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 13 Januari lalu berbanding minyak botol.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pasar awam di daerah Barat Daya semalam mendapati, tiada kenaikan harga minyak peket pelbagai jenama berlaku yang kekal dijual RM2.50 sepeket.
Seorang pengusaha kedai runcit di Pasar Awam Bayan Baru, Akashia Ishak, 41, berkata, dia memilih menjual bekalan minyak peket berbanding botol disebabkan permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan.
“Selain harganya yang kekal murah, pelanggan mengatakan mereka dapat berjimat cermat sekali gus menguruskan kewangan dengan bijak berikutan terjejas dengan pandemik Covid-19.
“Saya memang tidak jual minyak masak botol sejak dahulu disebabkan harganya yang mahal selain botol plastik yang mudah dirosakkan haiwan perosak seperti tikus,” katanya semalam.
Bagaimanapun, dia memberitahu, dia terpaksa mengehadkan penjualan minyak peket kepada hanya dua bungkus bagi seorang pembeli manakala maksimum tiga kotak minyak masak peket dibelinya daripada pemborong di kawasan Georgetown setiap hari.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Abdul Rahman Ahmad, 71, berkata, tiada isu kekurangan stok bekalan minyak masak peket pelbagai jenama dalam kalangan pengusaha kedai ketika ini.
“Memang ada dakwaan berlaku kenaikan harga RM1 bagi penjualan minyak masak botol sejak minggu lalu.
“Namun, saya memilih untuk tidak memasarkan bekalan minyak itu di kedai saya sejak lebih empat dekad beroperasi,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd. Ridzuan Abd. Ghapar mengesahkan berlaku trend kenaikan harga minyak masak botol yang tiada subsidi.
“Penguat kuasa KPDNHEP sedang memantau perkara ini dengan mendapatkan maklumat harga daripada semua peringkat pengedaran.
“Bagaimanapun, dari segi bekalan minyak masak adalah terjamin di Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN ONLINE










