KULIM: Seorang jurutera tidak menyangka kejadian pecah rumah yang berlaku di kediamannya pada Mac tahun lalu adalah perbuatan pemandu peribadinya sendiri apabila lelaki terbabit di tahan polis semalam.
Lelaki berusia 28 tahun itu berasal dari Butterworth, Pulau Pinang ditahan pada pukul 10.30 malam di Jalan Bukit Awi di sini berkaitan kejadian kes pecah rumah di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Azhar Hashim berkata, suspek bekerja dengan mangsa selama sebulan sahaja dan kemudian berhenti dipercayai selepas kejadian pecah rumah majikannya itu di Taman Sri Pinang di sini.
Katanya, kejadian ini terbongkar selepas suspek yang ditahan mengaku melakukan kes pecah rumah majikannya.
“Kejadian pecah rumah tersebut berlaku pada pukul 6.30 petang, 11 Mac tahun lalu iaitu semasa suspek masih bekerja dengan majikannya itu,” katanya di sini hari ini.
Beliau memberitahu, suspek memecah masuk ke dalam rumah majikannya itu selepas mengumpil pintu belakang.
Azhar berkata, beberapa barangan dilaporkan hilang seperti sebuah telefon pintar iPhone 6 Plus, satu bentuk cincin emas, lapan jam tangan jenama Ice Watch dan wang tunai RM7,000
“Mangsa telah membuat laporan polis pada hari kejadian tanpa mengesyaki sesiapa,” katanya.
Menurutnya, hasil.semakan pihak polis, suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau serta terlibat dalam kes curi sarang burung tahun lepas.
Katanya, suspek dipercayai terlibat dalam dua kes kecurian sebelum bekerja dengan majikannya itu.
Tambahnya, suspek direman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










