PDRM berdepan beberapa kekangan - Utusan Malaysia

PDRM berdepan beberapa kekangan

ABDUL HAMID BADOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Terdapat beberapa kekangan perlu dihadapi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengesan orang dikehendaki meskipun ada hebahan dilakukan.

Antara kekangan yang dihadapi bagi mengesan orang dikehendaki apabila suspek tidak lagi tinggal di alamat terakhir yang diperoleh.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador membe­ritahu Utusan Malaysia, tindakan suspek yang tidak mengemas kini alamat terkini menyebabkan PDRM sukar menjejaki mereka.

“Terdapat kes yang mana alamat diberi mereka yang pernah ditangkap sebelum ini, adalah tidak betul dan palsu.

“Selain itu, kebanyakan mereka telah lari keluar dari daerah atau negeri tempat di mana mereka melakukan ke­salahan selain ada dalam kalangan mereka berpindah-randah bagi menyukarkan pihak berkuasa mengesan,” katanya di sini semalam.

Lebih menyukarkan, kata Abdul Hamid, terdapat juga kalangan pihak keluarga orang dikehendaki itu tidak memberi kerjasama kepada polis untuk berkongsi maklumat mengenai status terkini mereka yang diburu.

Jelas beliau, tidak terlepas ada dalam kalangan orang dikehendaki sudah dibuang keluarga terutama suspek yang diburu bagi kesalahan dadah.

“Mereka tiada tempat tinggal tetap dan sering berpindah-randah selain melarikan diri ke luar negara.

“Usaha mengesan mereka melalui bantuan negara asing agak sukar atas pelbagai sebab,” jelasnya.

Mengulas mengenai kesukaran mengesan warga asing yang disenaraikan sebagai orang dikehendaki, beliau berkata, bagi suspek yang masih berada di dalam negara, kadangkala mereka sudah melarikan diri daripada majikan atau tempat bekerja.

Disebabkan itu, jelas beliau, pergerakan mereka gagal dikesan walaupun dengan bantuan Jabatan Imigresen.

“Lain pula bagi warga asing yang meninggalkan negara ini dan balik ke negara asal atau ke negara ketiga, ia amat menyukarkan lagi pihak kita untuk mengesan mereka,” katanya.

Kelmarin, Utusan Malaysia mendedahkan seramai 78,026 individu berada dalam senarai orang dikehendaki PDRM kerana terlibat pelbagai kesalahan jenayah dengan sebahagian besarnya berkaitan dadah dan penipuan.

Daripada jumlah itu, sebahagian daripada individu ber­kenaan dipercayai masih tinggal di negara ini dan ada juga yang telah melarikan ke luar negara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN