Ops Sikal ditunda selepas Hari Wilayah Persekutuan - Utusan Malaysia

Ops Sikal ditunda selepas Hari Wilayah Persekutuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Polis menunda operasi penguatkuasaan terhadap pemilik basikal di Putrajaya yang sepatutnya bermula hari ini kepada tarikh baharu selepas Hari Wilayah Persekutuan.

Menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd. Fadzil Ali, penundaan Ops Sikal itu bagi memberi masa kepada pengayuh basikal dapat memasang peralatan yang perlu.

“Kita akan terus membuat advokasi bagi memastikan semua pemilik basikal diberikan masa secukupnya untuk melengkapkan peralatan yang perlu ada,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara spesifik bilakah Ops Sikal tersebut akan bermula kembali setelah selesai sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021 pada 1 Februari ini.

Pada 2 Januari lalu, Mohd. Fadzil sendiri ‘turun padang’ menyertai operasi pemantauan aktiviti berbasikal rekreasi di hadapan Istana Kehakiman, Presint 3 di sini sambil menasihati mereka.

Beliau ketika ditemui media memaklumkan bahawa pihak polis akan melancarkan Ops Sikal mulai 9 Januari ini kepada para pemilik basikal itu yang didapati tiada brek, loceng dan lampu.

Penunggang terbabit ujarnya, malahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM2,000 tanpa ada lagi kompaun mengikut Kaedah 35 dan 42 di bawah Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Menurut Mohd. Fadzil, langkah tegas itu perlu berikutan peningkatan kemalangan di Putrajaya melibatkan pengayuh basikal sepanjang tahun lepas termasuk satu kes kematian dicatatkan.

Penguatkuasaan itu wajar kerana setiap kali hujung minggu dan cuti umum, Putrajaya sesak ‘dibanjiri’ lebih 1,000 penunggang basikal rekreasi dari luar sehingga ada terbabit kemalangan.

Wilayah Persekutuan itu amat digemari dan menjadi tumpuan ramai penunggang basikal kerana laluannya tidak sibuk dan lengkap dengan fasiliti prasarana yang mesra penunggang tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN