fbpx

6 Mac 2021, 2:33 pm

  TERKINI

Mohd. Ashraff cari rezeki selongkar tong sampah

MOHD. Ashraff Mokhtar mencuba basikal yang diterimanya di Kampung Telaga Gayong, Pasir Puteh, hari ini. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH : Gelagat seorang kanak-kanak, Mohd. Ashraff Mokhtar, 9, yang sering memungut barangan terbuang di tong sampah pinggir bandar ini menarik perhatian Ketua Jajahan Pasir Puteh, Ab. Pattah Hasbullah untuk menjejaki keluarganya.

Mohd. Ashraff rupa-rupanya anak yatim yang tinggal di Kampung Telaga Gayong, di sini bersama ibunya, Ropeeah Yunuh, 50, serta tiga kakak yang masih bersekolah dan seorang abang yang bekerja sebagai tukang rumah untuk menyara keluarga.

Keluarga itu kini hilang punca pendapatan apabila kedai makan tempat Ropeeah bekerja ditutup manakala anak lelakinya pula tidak lagi dipanggil bekerja kerana pembinaan rumah dihentikan seketika sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehubungan itu, hari ini rombongan Ab. Pattah bersama Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Kelantan, Mahadi Awang menemui keluarganya dan menyampaikan bantuan bagi meringankan beban mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Ab. Pattah berkata, Mohd. Ashraff gigih menyelongkar timbunan sampah dan memilih barangan terbuang yang boleh dijual dengan melonggokkan di kawasan berdekatan demi membantu meringankan beban ibunya.

Bagaimanapun, hasil jualan kesemua barangan dikutip kanak-kanak itu sekadar antara RM2 hingga RM5 sahaja.

“Pejabat Jajahan Pasir Puteh akan membantu ibu tunggal itu membuka sebuah gerai pisang goreng dalam tempoh terdekat sebagai usaha membantu mereka mendapatkan sumber kewangan yang lebih kukuh.

“Mohd. Ashraff hari ini kita berikan sebuah basikal dan dia dinasihatkan supaya berada di rumah bersama keluarga dan tidak perlu lagi mengutip bahan terbuang,” katanya kepada pemberita ketika melawat keluarga itu hari ini.

Sementara itu, Mahadi mewakili Yadim Kelantan menyampaikan bungkusan makanan, sebuah basikal dan wang tunai bagi meringankan bebanan keluarga berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbongan, Mohd. Nazlan Mohamed Hasbullah turut hadir dan menyampaikan sumbangan pakaian sekolah. – UTUSAN ONLINE