'Mana mama, kami mahu susu' - Utusan Malaysia

‘Mana mama, kami mahu susu’

HUSNUL Fatimah Mustofa (tengah) menunjukkan gambar arwah Nurul Chasanah Ahmad Sobirin kepada tiga cucunya di Kampung Delek, Klang, Selangor, semalam. - UTUSAN/ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tiga tahun lalu, tiga beradik ini ditinggalkan bapanya warga Indonesia untuk pulang ke negara asal dan kini mereka hilang tempat berteduh dalam sekelip mata selepas ibunya pula maut dalam kemalangan di Persiaran Raja Muda Musa di sini, Isnin lepas.

Nasib menimpa Mohammad Aryan Hafizuddin Abdullah, 5; Mohammad Harraz Naufal, 4, dan Raisya Maryam yang ber­usia setahun itu menyayat hati apabila masih terpinga-pinga serta tidak mengerti kejadian malang menimpa mereka.

Lebih memilukan, salah seorang daripada mereka mena­ngis sambil menyebut, “Mama… mana mama… kami mahu susu.”

Dalam kejadian Isnin lalu, ibu mereka, Nurul Chasanah Ahmad Sobirin, 35, terlibat kemalangan ketika menunggang motosikal menuju tempat kerjanya di Meru, kira-kira pukul 6.30 pagi.

Abang sulung mangsa, Khoi­ruddin, 44, berkata, arwah yang bekerja sebagai pembantu kantin sebuah kilang itu menunggang Honda Dash pergi bekerja setiap hari.

“Sewaktu ketiadaannya, ibu saya (Husnul Fatimah Mustofa, 64) datang ke rumah arwah di Pelabuhan Klang untuk menjaga tiga cucunya itu.

“Kami terkejut apabila dimaklumkan adik saya meninggal dunia dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumah keluarganya di Kampung Delek, di sini semalam.

Khoiruddin yang merupakan penyelia gudang berkata, semua ahli keluarga pasrah dengan kejadian yang berlaku dan akan memikul tanggungjawab menjaga tiga beradik terbabit.

“Pada masa ini, keadaan mungkin agak sukar kerana mereka kerap menangis sambil bertanyakan mengenai arwah ibu mereka.

“Allahyarham sememangnya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara sebelum kejadian dan ternyata Allah SWT lebih menyayanginya,” ujarnya memaklumkan jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Sireh.

Menurut Khoiruddin, bapa kandung tiga beradik itu yang dikenali sebagai Abdullah, 30-an, masih tidak pulang selepas ke Indonesia sejak pertengahan 2019.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli mengesahkan kemala­ngan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya di akaun bank Khoi­ruddin bernombor 4305574905 (Public Bank) atau menghubunginya di talian 018-2007877. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN