Mahdzir jangka PRU-15 antara April hingga Jun ini - Utusan Malaysia

Mahdzir jangka PRU-15 antara April hingga Jun ini

MAHDZIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menjangkakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bakal berlangsung dalam tempoh terdekat antara April hingga Jun tahun ini.

Beliau berkata, kerajaan sedia ada tidak boleh menunggu terlalu lama untuk mengadakan PRU-15 berikutan jumlah perbezaan kerusi yang terlalu kecil di Dewan Rakyat pada masa ini.

Katanya, berdasarkan jumlah perbezaan kerusi itu, segala kemungkinan boleh berlaku terutama apabila terdapat perkara melibatkan kepentingan rakyat yang memerlukan undian dalam  kalangan ahli Dewan.

“Dalam keadaan kita cuma mendapat 111 undian berbanding 108 ketika meluluskan Belanjawan 2021 baru-baru ini, kita perlu sedar betapa margin antara kerajaan dan pembangkang terlalu tipis.

“Dalam keadaan ini segala-galanya boleh berlaku dan kerajaan sedia ada tidak boleh tunggu terlalu lama untuk mengadakan PRU. Bersandarkan keadaan semasa, saya menjangka PRU-15 diadakan antara April hingga Jun depan,” katanya.  

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan  Wanita UMNO Bahagian Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Gerasak, Naka dekat sini, hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Ghazali Ibrahim; Naib Ketua UMNO Bahagian, Datuk Badrol Hisham Hashim dan Ketua Wanita Bahagian, Che Arpah Ariffin.

Utusan Malaysia pada 31 Disember lalu melaporkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof menjangkakan PRU-15 tidak akan berlangsung dalam waktu terdekat.

Sebaliknya, beliau meramalkan PRU-15 bakal diadakan menjelang tempoh penggal kerajaan yang akan berakhir pada 2023.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyuddin Yassin sebelum ini juga memberi bayangan membubarkan Parlimen selepas pandemik Covid-19 berakhir.

Mengenai pengagihan kerusi, beliau berkata, jawatan kuasa yang membincangkan perkara itu diharap dapat menghormati keputusan Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang mahu supaya setiap kerusi yang dimenangi parti itu termasuk yang wakil rakyatnya melompat ke parti lain, tetap diserahkan kepada UMNO.

“Wakil rakyat yang melompat ke parti lain ini pun dulu menang atas tiket UMNO. Maka kerusi tersebut perlu dikira sebagai hak UMNO jugalah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya