BALING: Seorang mekanik maut apabila motosikal yang dia tunggang merempuh besi penghadang jalan berdekatan kawasan rehat Tawar di Jalan Baru Kulim-Baling-Gerik, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 11.45 malam itu, mangsa, Muhammad Nazim Nafis Mohd. Khairi, 19, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian bawah dagu dan leher.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, motosikal mangsa jenis Yamaha 135LC sebelum itu bergesel dengan sebuah lagi motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditunggang lelaki berusia 19 tahun.
“Kedua-dua mereka dari arah Kampung Masjid Tawar menghala ke Kampung Tawar. Apabila tiba di tempat kejadian, motosikal Yamaha Y15ZR baru hendak merapat ke kiri jalan untuk masuk ke simpang, namun mangsa dari arah belakang telah bergesel di bahagian sisi kiri.
“Mangsa hilang kawalan lalu terbabas melanggar besi penghadang jalan arah ke Keledang, manakala seorang lagi penunggang bersama motosikalnya terjatuh di kawasan berhampiran,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Shamsudin, mangsa yang terselamat mengalami luka di kedua-dua belah kaki dan tangan, muka serta kepalanya dan dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berpunca daripada mangsa kedua yang tidak rapat ke kiri jalan sebelum masuk ke simpang sehingga menyebabkan pelanggaran.
Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -UTUSAN










