GEORGETOWN: Nasib seorang warga emas yang ditinggalkan darah dagingnya di sebuah rumah jagaan persendirian di Jalan York, di sini sejak tahun lalu mendapat perhatian sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Surplus Pulau Pinang.
Kehadiran NGO yang diketuai Pengerusinya, Sophian Mohd. Zain di rumah lot berkenaan, baru-baru ini mengundang sebak warga emas itu yang mahu dikenali sebagai Ali.
Lelaki berusia 50-an itu tidak dapat menahan kesedihan sebaik sahaja kumpulan NGO terbabit mendekatinya dan bertanyakan khabar selain mengambil peluang menyuap nasi ke mulutnya.
Sophian berkata, dia sangat terkilan dengan kejadian menimpa warga emas terbabit yang dikatakan diabaikan anak kandungnya dengan dibiarkan tinggal di rumah jagaan persendirian bukan Islam itu.
“Saya terpanggil datang melawatnya sendiri. Saya cukup kecewa dengan tindakan ahli keluarganya yang dipercayai sanggup tinggalkannya tanpa sebarang khabar berita sejak tiga bulan lalu.
“Difahamkan, dia juga tiada pengenalan diri, kad pencen dan tidak menerima sebarang bantuan kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Menurut Sophian, pihaknya menjadikan warga emas tersebut sebagai bapa angkat dan memantau tahap kesihatan dari semasa ke semasa selain membantunya mendapatkan semula kad pengenalan diri.
Dalam pada itu, Sophian meminta pihak Zakat Pulau Pinang (ZPP) memberi perhatian segera kepada warga emas terbabit supaya dapat dipindahkan ke lokasi lebih selesa.
Difahamkan, pada Oktober tahun lalu, Ali dibawa ke rumah penjagaan warga emas persendirian itu dengan ambulan selepas dimasukkan ke sebuah hospital kerajaan di negeri ini dipercayai akibat kemalangan jalan raya.
Disebabkan mengalami patah kaki kanan, keluarga Ali dikatakan membuat keputusan untuk menghantarnya ke situ.
Bagaimanapun sehingga ke hari ini, ahli keluarganya langsung tidak menghubunginya untuk bertanya khabar berita. – UTUSAN ONLINE










