Kerusi Parlimen Alor Setar jadi rebutan - Utusan Malaysia

Kerusi Parlimen Alor Setar jadi rebutan

AHMAD YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerusi Parlimen Alor Setar bakal menjadi rebutan antara UMNO dan Pas apabila kedua-dua parti itu menaruh keyakinan mempunyai peluang merampas kawasan tersebut daripada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Perebutan kerusi tersebut tercetus apabila UMNO sebelum ini menyatakan hasrat mengambil alih daripada MCA yang secara tradisi ditandingi parti kompenan Barisan Nasional (BN) itu manakala Pas pula menganggap lebih layak bertanding berdasarkan kepada keputusan PRU-14.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Yahya berkata, Pas sememangnya berhasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen itu jika diberi kepercayaan pucuk pimpinan parti termasuk Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, kerusi Parlimen itu sekarang terbuka antara UMNO dan Pas kerana dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) daripada PH pada PRU-14.

“UMNO tidak boleh mendakwa kerusi tersebut menjadi milik parti itu selepas kalah pada PRU-14 dan begitu juga bagi pihak Pas, sebaliknya dimenangi oleh PH.

“Jadi kawasan berkenaan kini terbuka antara Pas dan UMNO untuk bersaing menjadi calon dan terserah kepada pucuk pimpinan memilih parti yang terbaik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar ini yang menyebut kerusi Parlimen Alor Setar secara tradisi milik MCA, namun UMNO Bahagian Alor Setar kini menyatakan hasrat mengambil alih dan meletakkan calon bagi bertanding di kawasan tersebut pada PRU-15.

Hasrat itu difahamkan disuarakan kepimpinan UMNO bahagian itu kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini untuk diberi pertimbangan UMNO Pusat bagi menjamin kerusi Parlimen dapat dirampas semula BN.

Pada PRU-14, calon PKR, Chan Ming Kang yang memperoleh 32,475 undi memenangi Parlimen Alor Setar dengan majoriti 15,200 dengan menewaskan calon Pas, Muhammad Aminur Shafiq Mohamad Abduh yang mendapat 17,275 undi dan calon BN, Yoo Wei How mengumpul 14,181 undi.

Ahmad menambah, berdasarkan keputusan PRU-14, Pas mendapat jumlah undi lebih banyak berbanding calon BN dan wajar diberi peluang kepada Pas.

Beliau berkata, Pas mempunyai ramai calon yang berwibawa dan layak untuk bertanding di kawasan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN