PETALING JAYA: Idea penubuhan negara bangsa Melayu atau ‘Kerakyatan Melayu’ memerlukan banyak pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan seandainya ia betul-betul mahu direalisasikan.
Selain bercanggah dengan kontrak sosial yang menjadi batu sempadan kepada ketegangan kaum akibat perbezaan agama dan bangsa, konsep diusulkan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah itu juga ‘tidak kena’ dengan sistem Raja Berpelembagaan di negara ini.
Andai negara jiran, Indonesia dijadikan penanda aras untuk diikuti, ia seperti ‘jauh panggang dari api’ berikutan republik itu mengamalkan politik demokrasi berpresiden tanpa peranan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sejarahwan dan pejuang bahasa Melayu, Dr. Lim Swee Tin berkata, segala yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan sudah cukup sempurna dan adil kepada semua pihak termasuklah Perkara 153 yang menjamin keistimewaan orang Melayu dan bumiputera.
Beliau berpendapat, idealisme negara bangsa juga tidak menjamin perpaduan antara orang Melayu bumiputera, Cina dan India menjadi lebih baik sebaliknya besar kemungkinan tercetus pula masalah perkauman lebih rumit.
“Apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sudah cukup jelas. Apabila orang mempersoalkan isu agama, bahasa dan hak-hak kaum, saya tetap percaya bahawa segalanya amat jelas termaktub dalam Perlembagaan.
“Tiada siapa yang perlu risau kalau kita menjunjung Perlembagaan. Biarkan keadaan itu berterusan begitu tanpa sebarang keraguan, kita perlu melihat kembali bahawa pergeseran yang terjadi selalunya disebabkan oleh anasir-anasir lain yang cenderung untuk memecah-belah,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sebelum ini, Tengku Razaleigh menerusi program Bual Bicara Minda Profesor Negara (MPN) Mengenai Masa Depan Malaysia mencadangkan agar idea bekas Presiden Pas, Dr. Burhanuddin al-Helmy berhubung idea negara bangsa Melayu dihidupkan semula.
Menurut Ku Li, gagasan itu kini bermaksud semua rakyat tanpa mengira kaum dan keturunan adalah satu negara bangsa Malaysia.
Ahli Parlimen Gua Musang itu juga memberikan contoh negara bangsa Indonesia yang menggunakan satu nama kerakyatan sebagai identiti kebangsaan, tidak mengira kaum atau keturunan.
Dalam pada itu, Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Ismail Sualman pula berkata, selain bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, konsep negara bangsa yang akan memberi hak sama rata kepada semua kaum adalah bertentangan dengan Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu.
Mengulas kejayaan idea itu di Indonesia, beliau berkata, meskipun semua rakyat republik itu dikenali sebagai bangsa Indonesia, namun perspektif politik mereka masih bermodalkan kelangsungan etnik dan suku kaum masing-masing.
Tegasnya, Malaysia belum ‘terdesak’ sehingga terpaksa mengimplimentasikan sesuatu yang bakal menguburkan kesefahaman yang sudah dipraktikkan sejak tahun 1957.
“Di Indonesia setiap kali pilihan raya presiden, walaupun atas nama bangsa Indonesia tetapi lebih 60 parti-parti yang asabiahnya mengikut kawasan, bangsa dan sebagainya.
“Saya fikir idea penubuhan negara bangsa Melayu tidak logik untuk dicadangkan sekarang. Sebab benda itu sudah termaktub tidak boleh diusik dan ia bercanggah dengan Wasiat Raja-Raja Melayu,” jelasnya. -UTUSAN










