PETALING JAYA: Sistem internet di negara ini ketinggalan kira-kira 10 tahun berbanding negara-negara maju lain, sekali gus menjadi punca sukarnya Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan dengan sempurna.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kejuruteraan Komputer Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Diyana Ab. Kadir berkata, masih ramai pelajar terpaksa menghadapi masalah capaian internet kerana pembangunan internet dalam negara yang lebih tertumpu di kawasan bandar sahaja.
“Saya berada di Perancis pada tahun 2005 sehingga 2010 dan pada masa itu juga capaian internet di sana sudah jauh lebih maju berbanding yang kita ada di Malaysia.
“Sememangnya ada banyak faktor yang menyebabkan kesukaran untuk pelajar menyertai kelas PdPR namun begitu yang turut menyumbang kepada masalah ini adalah kurangnya kawasan-kawasan hotspot, sekali gus menjejaskan kualiti pembelajaran itu sendiri,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sejak PdPR diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila negara dilanda pandemik Covid-19 awal tahun lalu dan dilaksanakan sekali lagi minggu lalu, ramai ibu bapa mengeluh berikutan capaian internet yang lemah dan kos data yang tinggi bagi anak-anak menyertai PdPR.
Menurut Diyana, graduan-graduan teknologi maklumat (IT) dalam negara perlu diberikan perhatian sewajarnya supaya lebih banyak bakat boleh membantu memajukan bidang IT terutama pembangunan internet.
“Tidak terlambat untuk kita memupuk minat dan mengasah bakat graduan IT dalam negara supaya lebih banyak pakar dapat dilahirkan untuk membantu memajukan bidang IT termasuklah dalam rangkaian internet di seluruh Malaysia,” katanya.
Diyana berkata, Kementerian Pendidikan juga harus menyeragamkan medium pembelajaran seperti menetapkan pembelajaran menggunakan Google, Telegram atau WhatsApp bagi memudahkan PdPR.
Sementara itu, bagi Perunding Teknologi Maklumat, Ridzman Azzahari, masalah kesukaran pelajar mendapat liputan internet mungkin kerana trafik internet menjadi sesak apabila ramai pengguna.
“Jika ramai pelajar menggunakan internet bermula pukul 9 pagi serentak, ia akan mengakibatkan trafik internet sesak.
“Ketika itu, bukan sahaja pelajar menggunakan internet tetapi para guru dan golongan yang bekerja juga sudah mula menjalankan tugas masing-masing,” katanya.
Ridzman berkata, isu itu sewajarnya mendapat perhatian dan dibincangkan oleh pihak yang lebih layak seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan syarikat-syarikat telekomunikasi.
“Pihak yang boleh mengubah serta memudahkan sistem PdPR adalah syarikat telekomunikasi itu sendiri dengan kerjasama SKMM dalam satu persempadanan bagi memastikan liputan lebih kuat dan menyeluruh,” ujarnya. UTUSAN










