KLUANG: Individu yang dilaporkan hilang dalam arus banjir di Batu 18 Jalan Batu Pahat – Mersing dikatakan tidak sempat keluar dari kenderaan selepas menyelamatkan isterinya, Khairunnisa Ibrahim, 25.
Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang kelmarin, Md. Rajihan Junaidi, 28, bertindak memecahkan cermin kereta Proton Waja yang dinaiki mereka bagi mengeluarkan isterinya yang sarat mengandung enam bulan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Law Hang Seng berkata, isteri mangsa sempat diselamatkan orang awam namun Md. Rajihan dihanyutkan arus deras bersama keretanya.
“Terdahulu, mangsa memberhentikan kenderaan dan membuat keputusan untuk meredah air sebelum kereta dipandu tiba-tiba dibawa arus ke sebelah kanan jalan.
“Mereka dalam perjalanan dari Mersing dengan menaiki sebuah Proton Waja,” katanya ketika dihubungi semalam.
Hang Seng berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang cuba mencari mangsa tetapi keadaan air semakin deras dan cuaca gelap selain hujan yang boleh membahayakan usaha pasukan penyelamat.
“Usaha mencari sukar diteruskan kerana lokasi kejadian dimasuki air yang mengalir deras,” katanya. – UTUSAN ONLINE










