Hamidah: Isu tanah rizab `dilayan macam bola' - Utusan Malaysia

Hamidah: Isu tanah rizab `dilayan macam bola’

Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menunjukkan dokumen selepas mengunjungi Pejabat SPRM Perak di Ipoh semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Datuk Hamidah Osman mengibaratkan isu tanah rizab Melayu yang didedahkan kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini `dilayan’ seperti bola apabila ditendang ke sana sini oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu berkata, isu dibawanya adalah kes serius, bukan perkara kecil tetapi tidak mendapat `tempat’ yang betul dalam siasatan pihak berkuasa.

Menurut beliau, selepas pendedahan hampir seminggu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM masih menuding jari antara satu sama lain.

“Pihak saya  diberitahu siasatan kes itu telah dipanjangkan oleh polis kepada SPRM namun agensi penguat kuasa itu (SPRM) pula memaklumkan tidak menerima sebarang laporan.

“Semasa saya hadir ke pejabat SPRM hari ini (semalam), mereka menafikan laporan sudah diserahkan oleh polis kepada mereka.

“Jadi, siasatan apa sebenarnya yang sedang berlaku sekarang? Saya terkejut apabila SPRM mengesahkan tidak terima laporan daripada polis,” kata beliau ketika ditemui Utusan Malaysia selepas memberi maklumat dan dokumen bagi membantu siasatan SPRM di pejabat SPRM Perak di sini semalam.

Justeru, Hamidah meminta, polis dan SPRM berhenti menjadikan isu `kehilangan’ tanah rizab Melayu sebagai `hal kecil atau biasa’.

“Kes sudah seperti bola, boleh ditendang ke sana sini. Kes ini adalah isu serius, bukan perkara kecil dan pihak berkuasa perlu ambil berat tentang isu ini,” tegas beliau.

Mengulas lanjut, kata Hamidah, beliau pada mulanya hadir ke pejabat SPRM Perak hanya untuk menawarkan diri sebagai pemberi maklumat namun sebaliknya diminta membuat laporan rasmi.

“Ketua Bahagian Siasatan SPRM Perak maklumkan tiada laporan diterima daripada pihak polis jadi beliau minta kami buat laporan rasmi,” katanya.

Berikutan itu, Hamidah berkata, seorang ahli Putra kemudian membuat laporan rasmi kepada SPRM semalam.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak Datuk Mohd. Fauzi Mohamad mengesahkan kehadiran Hamidah ke pejabat SPRM bagi memberi maklumat dan satu laporan rasmi dibuat ahli Putra.

Bagaimanapun, Mohd. Fauzi memaklumkan pihaknya tidak menerima laporan daripada polis mengenai dakwaan tersebut.

“Memang tak ada (laporan polis kepada SPRM). Jika ada laporan, SPRM akan melaksanakan siasatan dan menumpukan jika ada berlaku rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan,” katanya.

Mingguan Malaysia Ahad lalu menyiarkan dakwaan Hamidah bahawa seluas 641.6 hektar tanah rizab negeri ini dipindah milik kepada bukan Melayu akibat penyelewengan sindiket yang turut didalangi pegawai kerajaan.

Sindiket itu, didakwa menyasarkan tanah di Sitiawan yang digazetkan sebagai tanah rizab Melayu pada 1990.

Dalam pada itu, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip pula memaklumkan, pihaknya tidak dapat membuat penjelasan buat masa ini disebabkan ia sedang disiasat pihak berkuasa.

“Memandangkan dakwaan ini dalam tindakan siasatan oleh pihak berwajib terhadap isu dibangkitkan, justeru saya tidak digalakkan untuk memberi kenyataan hingga siasatan selesai.

“Kita tunggu dulu siasatan dibuat,” kata beliau menerusi aplikasi WhatsApp kepada Utusan Malaysia semalam.

Sebelum ini, Mohamad Fariz berkata, PTG Perak menafikan secara konsisten dakwaan Hamidah selain menyatakan kesediaannya untuk memberi penjelasan berserta bukti dan fakta.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan laporan mengenai dakwaan tersebut diterima pada September tahun lalu.

“Saya akan dapatkan maklumat kes ini daripada pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dan maklumkan perkembangan lanjut siasatan,” kata beliau.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN