Setelah UMNO bertelingkah dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) isu saingan pilihan raya umum ke-15, adakah ia meletakkan Pas dalam dilema – diluah mati emak, ditelan mati bapa?
Ini kerana kalangan pemimpin Pas sudah pun dilantik Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN) Perikatan Nasional (PN), gabungan yang tidak disertai UMNO/Barisan Nasional (BN).
Bagaimana pula dengan agihan kerusi yang difahamkan sudah 80 peratus disepakati formula atau kriterianya oleh UMNO-Pas menerusi Muafakat Nasional (MN)?
Sumber rapat kepimpinan tertinggi UMNO-Pas memberitahu Utusan Malaysia, urusan agihan kerusi MN itu diperbincangkan Jawatankuasa Induk MN diketuai timbalan presiden parti masing-masing, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Terbaharu bulan lepas jawatankuasa ini bermesyuarat. Cuma kriteria keempat agihan kerusi MN yang dimasukkan adalah kategori “kerusi tokoh” melibatkan tokoh atau pemimpin UMNO -Pas yang tidak mempunyai kawasan untuk bertanding tetapi diberi ruang menjadi calon.
“Contoh Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ustaz Idris Ahmad, masing-masing ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah dan Naib Presiden Pas. Takkanlah mereka tidak diberi peluang bertanding di Parlimen Jerai, Kedah dan Bukit Gantang, Perak,” kata sumber ketika dihubungi semalam.
Tiga kriteria lagi berkenaan agihan kerusi MN adalah:
1) Status quo kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi mana-mana calon UMNO atau Pas, kekal di tangan penyandang masing-masing.
2) Parti yang meraih undi kedua tertinggi di kerusi yang kalah, dipersetujui menjadi calon mewakili MN.
Contoh:
i. P. 149 – SRI GADING
PH : 21,511: Sharuddin Md. Salleh (Bersatu)
UMNO/BN : 18,223 (Datuk Ab Aziz Kaprawi)
Pas: 4,548 (Lef Kol Haji M Ashari Sidon)
Dipersetujui: Calon UMNO bertanding di situ pada PRU-15.
ii) P. 057 – PARIT BUNTAR – MUJAHID YUSOF (AMANAH)
PH (Amanah) : 16,753 (Datuk Mujahid Yusof)
UMNO/BN: 13,655 (Abdul Puhat Mat Nayan)
Pas: 12,312 (Ahmad Azhar Sharin)
Dipersetujui: Calon UMNO bertanding.
iii) P.077 – TANJONG MALIM
PH: 24, 672 (Chang Lih Kang)
BN: 19,314 (Dr. Mah Hang Soon)
Pas: 10, 311 Ustaz Mohd. Tarmizi)
Dipersetujui: Calon BN bertanding.
3) UMNO-Pas boleh bertukar-tukar kerusi Parlimen dan DUN dengan syarat dipersetujui bahagian dan kawasan. Dengan kata lain, UMNO berlapang dada menyerahkan kerusi dimenanginya kepada Pas untuk ditandingi. Demikianlah juga timbal balik daripada Pas. Contoh:
i. P. 059 BUKIT GANTANG
UMNO/BN: 22,450 (Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal)
PH: 18,361 (Datuk Khadri Khalid)
Pas: 16, 052 (Ustaz Idris Ahmad)
Dipersetujui: Calon Pas bertanding PRU-15.

ii) P. 028 PASIR PUTEH
Pas: 32,307 (Ustaz Dr. Nik Zawawi)
UMNO/BN: 30,947 (Dr. Asyraf Wajdi Dusuki)
PH: 4,896 (Datuk Kamarudin (Abe Din))
Dipersetujui: Calon UMNO bertanding PRU-15.
Pada PRU-14, 9 Mei 2018, UMNO memenangi 54 kerusi parlimen, namun hilang banyak kerusi apabila ahli-ahlinya lompat parti menjadi ahli Bersatu yang diasaskan beberapa bekas pemimpin kanan UMNO. Kini UMNO memiliki 38 kerusi.
UMNO mula bersekutu dengan Bersatu apabila parti serpihannya itu keluar daripada PH hujung Februari tahun lalu dan membentuk kerjasama dengan parti-parti lain – termasuk Pas – untuk menumbangkan kerajaan PH, di bawah payung PN.
Namun, kerjasama UMNO-Bersatu menempuh jalan sukar apabila ada sebahagian pemimpin UMNO mendakwa parti mereka dianaktirikan di bawah pentadbiran presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, malah tidak kurang menggesa ahli UMNO menarik balik sokongan kepada perdana menteri.
Gabungan PN didaftar pada 7 Ogos, membabitkan Bersatu, Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) manakala piagam MN yang dimeterai UMNO dan Pas pada 14 September 2019 pula sedang dalam fasa untuk merasmikan kerjasama.
Dikatakan UMNO melihat kerjasama MN membuahkan hasil politik yang berbaloi. Kemenangan bergaya BN di DUN Slim 29 Ogos tahun lalu dengan majoriti besar, menjadikan kedudukan 7-0 kejayaan gabungan itu dalam siri Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dibentuk UMNO-Pas.
PH sebelum ini kalah kesemua enam PRK disaingi mereka di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai, Kimanis dan Chini. Cuma pada pasca PRU-14, yakni ketika peringkat awal BN tumbang 2018, lima kerusi berjaya dipertahankan oleh PH iaitu PRK DUN Sungai Kandis, DUN Seri Setia, DUN Balakong, Parlimen Port Dickson dan kerusi Parlimen Sandakan. -UTUSAN










