Faraid kepada ibu bapa - Utusan Malaysia

Faraid kepada ibu bapa

ISLAM telah menetapkan pembahagian harta mengikut faraid untuk ibu bapa. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saranan untuk berbuat baik kepada ibu bapa bukanlah suatu yang asing dalam ajaran Islam. Dua individu tersebut mempunyai kedudukan yang istimewa untuk dihormati, dijaga dan dilindungi tanpa batasan selagi mana keduanya menyuruh anak-anak ke arah kepatuhan dan ketaatan kepada Allah SWT.

Memuatkan artikel berkaitan…

Frasa wa bil walidayni ihsana yang bermaksud berbuatlah ihsan kepada ibu bapa diulang sebanyak lima kali dalam al-Quran bagi menetapkan hukum wajib terhadap perilaku tersebut. Hampir semua frasa tersebut dinyatakan selepas perintah untuk mengesakan Allah SWT dan larangan menyekutui-Nya.

Allah SWT berfiman yang bermaksud: Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israel (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat”. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil daripada kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya. (al-Baqarah: 83)

Agihan faraid kepada ibu dan bapa adalah satu bentuk ihsan yang berterusan daripada seorang anak yang menemui ajal lebih awal daripada mereka. Hak untuk mendapat faraid sentiasa terjamin kerana suatu pengiktirafan atas hubungan nasab yang sah. Keduanya bersambung terus dengan si mati tanpa sebarang perantara.

Walaupun ibu dan bapa kepada si mati telah bercerai, hak untuk menerima faraid tetap diberi. Ini kerana, perceraian hanya melibatkan perkahwinan ibu dan bapa tersebut, tetapi hubungan dengan anak-anak masih kekal berterusan dan tiada pemisahnya.

Oleh itu, ibu dan bapa yang sudah bercerai jangan menceraikan anak-anak untuk menerima kasih sayang, penjagaan dan perlindungan.

Asas sandaran hukum pemberian faraid kepada ibu dan bapa adalah berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “… Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.” (al-Nisa’: 11)

FARAID KEPADA IBU

Bahagian faraid kepada ibu si mati terdiri daripada dua yang utama iaitu satu pertiga dan satu perenam. Satu pertiga diberi kepada ibu ketika si mati tidak meninggalkan keturunan ke bawah (far’ warith) atau tidak meninggalkan lebih daripada seorang saudara lelaki atau perempuan sama ada adik beradik kandung, sebapa atau seibu.

Adapun bahagian dikurangkan kepada satu perenam sahaja apabila syarat yang diperoleh berlawanan dengan situasi sebelumnya iaitu si mati meninggalkan keturunan ke bawah (far’ warith) atau mempunyai lebih daripada seorang adik beradik. Perincian bahagian faraid kepada ibu ini dapat digambarkan dalam contoh-contoh kes penyelesaian dalam jadual (1).

Keempat-empat kes sebelum ini menunjukkan ibu si mati memperoleh faraid dengan kadar yang berbeza-beza mengikut kepelbagaian situasi.

Dengan andaian setiap si mati meninggalkan harta pusaka RM3,000, maka ibu bagi keempat-empat kes memperoleh nilaian harta pusaka yang berbeza.

Bagi kes pertama, ibu si mati memperoleh harta sebanyak RM1,000. Bagi kes kedua, ibu tersebut memperoleh RM500 iaitu 1/6 daripada harta si mati. Ibu bagi kes ketiga pula memperoleh RM1,000 dan ibu dalam kes keempat mendapat RM500.

Daripada pembahagian faraid tersebut menunjukkan ibu dalam hukum faraid hanya berstatus waris ashab al-furud iaitu waris yang hanya memperoleh bahagian tetap (pecahan yang telah ditentukan).

Seorang ibu tidak mungkin mendapat harta pusaka anaknya yang meninggal dunia secara lebihan baki atau diistilahkan dengan waris ‘asabah.

Had bahagian faraid ini bukanlah bererti tahap ihsan yang perlu ditunjukkan oleh anak terhadap ibu. Bahkan ia adalah peraturan faraid yang ditetapkan oleh wahyu ilahi.

Hakikat yang perlu difahami ialah sumbangan seorang ibu dalam kehidupan setiap manusia tiada nilainya. Kedudukan ibu terletak di tempat yang mulia dan berkemungkinan melebihi daripada kadar satu pertiga atau satu perenam.

Peraturan dalam hukum faraid merupakan tanda ihsan seorang anak yang tidak berbelah bahagi terhadap keistimewaan seorang perempuan bergelar ibu.

FARAID KEPADA BAPA

Bapa kepada si mati mempunyai status berbeza-beza dalam peraturan faraid. Jika ibu sebelum ini hanya berstatus waris ashab al-furud, maka bagi seorang bapa pula mempunyai status sebagai waris ashab al-furud dan ‘asabah. Ini bermakna setiap bapa yang kematian anaknya berkemungkinan memperoleh harta pusaka secara bahagian tetap atau melalui lebihan baki.

Secara asasnya, bahagian bapa dalam faraid meliputi tiga bahagian utama iaitu; mendapat satu perenam secara tetap sahaja, mendapat lebihan baki (‘asabah) sahaja atau mendapat secara dua kombinasi iaitu satu perenam dan ‘asabah secara serentak.

Kepelbagaian bahagian faraid bapa ini menunjukkan tanggungjawab besar sebagai seorang ayah dalam keluarga.

Peranan sebagai wali, pelindung dan penjaga anak-anak memberi keistimewaan yang tersendiri sehingga melayakkan mereka dijamin dalam agihan faraid. Status bapa yang unik ini juga boleh mendinding adik-beradik si mati daripada memperoleh harta pusaka.

Bapa si mati dapat satu perenam jika si mati meninggalkan keturunan lelaki dan ke bawah (yang merupakan cucu atau cicit ke bawah kepada bapa tersebut).

Bahagian bapa secara lebihan baki pula akan diperolehi apabila anaknya yang meninggal dunia tidak meninggalkan zuriat.

Sementara dua kombinasi iaitu satu perenam dan ‘asabah secara serentak akan diberi kepada bapa jika si mati meninggalkan zuriat perempuan.

Ketiga-tiga kes ini menunjukkan bahagian faraid kepada bapa adalah berbeza-beza. Dalam kes pertama, bapa merupakan waris tunggal kepada si mati iaitu si mati tidak meninggalkan zuriat. Oleh itu, kesemua bahagian faraid diperolehi bapa tersebut.

Bapa dalam kes kedua pula hanya layak memperolehi 1/6 kerana si mati ada anak lelaki. Keunikan diberikan dalam kes ketiga iaitu bapa mendapat faraid melalui dua cara kerana si mati meninggalkan anak perempuan. Bapa dalam kes ketiga mendapat faraid secara 1/6 (menyamai 1/6) dan secara ‘asabah (menyamai 2/6). Oleh itu bahagian bapa dalam kes ketiga berjumlah 3/6.

Tanggungjawab besar bapa dalam kes kedua dan ketiga kerana mengambil alih peranan anaknya yang meninggal dunia. Status bapa dalam kedua kes ialah menjadi datuk kepada zuriat si mati tersebut.

Sekali lagi peranan datuk dalam keluarga tidak boleh dinafikan. Persis seorang bapa, seorang datuk juga adalah wali yang bertanggungjawab menjadi pelindung dan penjaga kepada cucu-cucunya.

PENEGASAN

Rasulullah SAW pernah ditanya tentang memberi penghormatan kepada manusia. Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Seorang lelaki datang bertemu Rasulullah SAW lalu bertanya: Siapakah manusia yang berhak untuk didampingi (berbuat baik)? Rasulullah menjawab: Ibu kamu. Lelaki tersebut bertanya lagi dengan persoalan yang sama, lalu Rasulullah menjawab: Ibu kamu. Kemudian lelaki tersebut bertanya lagi dengan persoalan yang sama, lalu Rasulullah menjawab: Ibu kamu. Lelaki tersebut bertanya lagi, lalu Rasulullah SAW menjawab: Bapa kamu. (Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Sillah wa al-Adab. Bab: birr al-walidayn. no: 2548]

Hadis ini memberi penghormatan kepada ibu melebihi bapa sehingga diulang tiga kali. Sekali pandang ada sedikit pertentangan antara hadis tersebut dengan bahagian faraid yang diperolehi oleh ibu berbanding bahagian bapa.

Jika ibu yang dilebihkan, kenapa bahagian mereka lebih sedikit dalam faraid. Namun realitinya, kesemua nas syarak tidak wujud pertentangannya. Hukum faraid ditentukan dalam dalil yang khusus dan hadis berkaitan menunjukkan keistimewaan seorang yang bergelar ibu.

Hikmah di sebaliknya masih tidak diketahui, namun apa yang pasti tiga keadaan yang menunjukkan seorang bapa tidak boleh mengambil tempat dan keistimewaan seorang ibu iaitu mengandung, saat melahirkan dan menyusukan anak yang menyebabkan Nabi SAW memberi respons yang sama sebanyak tiga kali.

  • Zahari Mahad Musa, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini