KUALA LUMPUR: Pakar teknologi maklumat (IT) yang juga bekas penggodam, Aman Shah Ahmad mendakwa, beliau dihubungi ramai ahli perbankan termasuk wakil menteri susulan pendedahannya mengenai sistem keselamatan institusi kewangan yang dikatanya tidak selamat.
Menurut beliau, mereka ingin menemuinya bagi mendengar penjelasan lanjut berhubung dakwaan kelemahan sistem perbankan sehingga terdedah kepada digodam.
Dalam wawancara eksklusif dengan Mingguan Malaysia pada 20 Disember tahun lalu, Aman Shah, 54, mendakwa terdapat kelompongan struktur keselamatan bank termasuk tindakan menjimatkan kos dengan menggunakan perisian (software) serta program bersifat terbuka (open source) memberi risiko kepada institusi kewangan digodam.
“Ramai ahli perbankan yang menghubungi saya. Begitu juga dengan pegawai kepada beberapa orang menteri, mereka juga ada menghubungi saya untuk mendengar penjelasan mengenai pendedahan tersebut.
“Namun, setakat ini saya belum memberi maklum balas. Saya sekadar beritahu bahawa saya sudah hampir bersara,” kata beliau kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Beliau juga memaklumkan sudah `malas’ untuk bercerita tentang isu tersebut kerana setiap penjelasan diberikan, pihak bank tidak pernah mengambil langkah membuat tambah baik.
“Saya sekarang berkebun. Lebih baik, jaga kebun,’’ katanya.
Pada 1990, nama Aman Shah terpampang di dada-dada akhbar tempatan susulan tindakan menggodam bank Hock Hua di Kuala Lumpur, sehingga bank itu kerugian puluhan juta ringgit.
Beliau kemudian didakwa di mahkamah atas pertuduhan pecah amanah (CBT) dan dihukum penjara.
Bercerita lanjut, Aman Shah berkata, selepas dibebaskan, beliau menerima tawaran pekerjaan di Amerika Syarikat (AS) dalam bidang IT, malah turut menjalankan perniagaan dalam bidang servis keselamatan siber di negara tersebut.
“Saya sebelum ini buat kerja berkaitan IT, dan kebanyakan syarikat saya di AS. Saya juga buat kerja-kerja konsultan, namun ada yang saya tak boleh dedahkan, sebab ia libatkan AS.
“Kita ada buat sistem keselamatan, masa itu IT masih tak maju di Malaysia, tapi di AS ia sudah dua, tiga langkah ke hadapan.
“Jadi macam-macam kerjalah, keselamatan ketenteraan, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Agensi Perisikan Pusat (CIA) semua itu, tapi itu saya tak mahu sentuh. Cuma untuk rumuskan, saya buat kerja, dan serah kepada kontraktor mereka,” jelas beliau. – UTUSAN










