PASIR GUDANG: Keadaan banjir di negeri ini dijangka menjadi lebih buruk ekoran air pasang diramal berlaku di beberapa daerah dalam tempoh beberapa hari lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, sehubungan itu penduduk yang menetap di kawasan berhampiran pantai dinasihatkan supaya berhati-hati.
“Keadaan ini dijangka memburukkan lagi situasi banjir ketika ini, khususnya melibatkan daerah Johor Bahru, Kota Tinggi dan Pontian,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan sebanyak 600 pek makanan kepada mangsa banjir di Kampung Plentong Baru, Masai, di sini semalam.
Setakat pukul 12 tengah hari semalam, bilangan mangsa banjir di Johor terus bertambah dengan keseluruhan melibatkan 6,248 orang daripada 1,628 keluarga.
Tambah Che Zakaria, kejadian air pasang besar biasanya mengakibatkan limpahan air di kawasan daratan dan mungkin menyebabkan banjir di lokaliti yang berhampiran dengan laut.
“Johor menerima taburan hujan yang banyak sejak dua hari lalu, ini akan membahayakan lagi kawasan yang berisiko banjir,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan ibu bapa supaya menjaga anak masing-masing dan tidak bermain air banjir bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Beliau turut memaklumkan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas di Taman Dahlia di sini, kini dibuka 24 jam sehari berikutan beberapa kawasan di Pasir Gudang dilanda banjir. – UTUSAN ONLINE










