ALOR SETAR: Sebanyak 213.70 hektar sawah padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) diserang bena perang pada musim 2/2020 bermula Oktober lalu hingga 16 Januari lepas.
Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, pada masa sama, sebanyak 131 bendera amaran dinaikkan di seluruh kawasan itu bagi memberi peringatan kepada para peladang berhubung serangan bena perang di kawasan terlibat.
“Serangan membabitkan kawasan seluas 8.48 hektar di Wilayah I, Perlis; 35.55 hektar (Wilayah II, Jitra), 23.16 hektar (Wilayah III, Pendang) dan 146.51 hektar (Wilayah IV, Kota Sarang Semut),” katanya di sini semalam.
Sabtu lalu, Utusan Malaysia melaporkan kebimbangan pesawah Kampung Dulang Besar di Yan, dekat sini berhubung kerugian pada musim ini apabila pokok padi mereka diserang penyakit bena perang atau ‘bom’ sejak awal bulan ini.
Serangan penyakit tersebut mudah merebak yang mana sekiranya tidak dikawal boleh merebak ke kawasan berdekatan seperti Kuala Sungai Daun, Kuala Sungai Limau, Sungai Tongkang, Sungai Kering dan Kuala Sedaka.
Bena perang (Nilaparvata lugens) adalah serangga perosak utama tanaman padi.
Ahmad Tarmizi memberitahu, bagi mengatasi masalah itu, MADA melaksanakan beberapa tindakan bagi mengurangkan risiko serangan perosak terhadap tanaman padi termasuk bena perang.
Katanya, antara inisiatif itu adalah memperkenal teknologi terkini kepada para peladang di kawasan Muda melalui pelaksanaan kempen pengembangan secara berterusan pada setiap musim penanaman padi.
“Pada Musim 2/2020, penekanan kempen pengembangan melibatkan lima aspek iaitu kempen pematuhan jadual tanaman, kempen tabur terus dalam air bertakung, kempen pengurusan rumpai padi, kempen pengurusan perosak dan kempen pematuhan amalan agronomi,” katanya.
Selain itu, katanya, program pengawasan dan ramalan di lapangan dilaksanakan dengan kerjasama Bahagian Biosekuriti Tumbuhan (BBT), Jabatan Pertanian bagi memantau penyakit itu. – UTUSAN ONLINE










