KOTA BHARU: UMNO Kelantan dinasihatkan tidak mudah keliru dengan sebarang laporan berita mengaitkan kerjasama Pas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi Perikatan Nasional (PN).
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai Pas dan UMNO tidak akan terkubur begitu mudah hanya kerana Pas berbaik dengan Bersatu.
Pas tegas beliau, sebuah parti yang berprinsip dan setakat ini pendirian utama untuk memperkukuh MN dan dalam masa sama mempertahankan kerajaan PN , tidak pernah berubah.
“Saya fikir UMNO Kelantan keliru, tidak cermat dengan maklumat yang dia dengar atau baca. Bukan semua yang ditulis itu boleh dipercayai. Sepatutnya dia rujuk pimpinan Pas dulu, tanya kita dulu jika ada isu.
“Saya harap UMNO Kelantan tidak mudah keliru, jadi lebih cermat sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan seperti dilakukan mereka semalam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Semalam, UMNO Kelantan mendesak Pas supaya menyatakan pendirian jelas sama ada akan terus komited bersama UMNO mempertahankan MN atau cenderung berbaik dengan Bersatu dalam PN.
Katanya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) Kelantan tidak teragak-agak meletak calon di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), jika Pas mengenepikan MN.
Desakan itu susulan kenyataan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob baru-baru ini yang ditafsir condong ke arah Bersatu dan PN apabila dilaporkan berkata, perjuangan parti Melayu bukan terhad kepada Pas dan UMNO sahaja. -UTUSAN










