KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Helping Shoulder menjelaskan, tiga kes pedofilia dalam sehari adalah kes yang berlaku secara keseluruhan di negara ini dan bukannya tertumpu kepada komuniti Orang Asli.
Presidennya, Lila Ruzani Mohd. Hussin berkata, nisbah tersebut merujuk laporan pada Ogos lalu yang dikeluarkan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusof sebanyak 1721 kes melibatkan kanak-kanak yang dilaporkan.
Ini sekali gus menjelaskan keadaan kes pedofilia tidak tertumpu kepada komuniti Orang Asli walaupun tidak dinafikan berlakunya jenayah itu dalam kalangan komuniti berkenaan seperti dakwaannya sebelum ini.
“Ingin ditegaskan bahawa tiada maklumat rasmi terhadap kes pedofilia terhadap orang asli sehinggakini dan pernyataan ‘pedofilia orang asli membimbangkan’ adalah kurang tepat.
“Kami menerima lebih daripada 20 panggilan telefon untuk berkongsi masalah dan meminta nasihat selepas kami menjalankan kempen kesedaran Perangi Pedofilia di Kampung Jeram Kedah, Negeri Sembilan, Julai tahun lalu.
“Kami sentasa memberikan input-input positif seperti sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat termasuk menyarankan pemanggil untuk melaporkan kepada pihak berwajib sekiranya ada kesahihan kes,” katanya.
Semalam, Lila mendakwa berlaku kegiatan terkutuk pedofilia melibatkan Orang Asli di Negeri Sembilan selepas dia menganjurkan program kesedaran pedofilia terhadap Orang Asli tahun lalu.
Kata Lila, kesedaran jenayah pedofilia di negara ini masih kurang malah menyifatkannya sebagai ‘tabu’ dalam kalangan masyarakat dan tidak wajar dibincangkan secara terbuka.
Malah, secara keseluruhan kes yang berlaku, ada yang menarik semula laporan berikutan konflik keluarga yang tidak mahu membesar-besarkan perkara tersebut sekali gus menyukarkan pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan.
Hari ini, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan kes pedofilia dalam kalangan masyarakat berkenaan menerusi siasatan pegawainya dengan NGO terbabit.
“Helping Shoulder secara aktif memberikan pendedahan terhadap kesedaran pedofilia melalui ceramah, forum, lawatan kampung dan sebagainya dan Helping Shouder juga mempunyai talian hotline untuk memberikan nasihat dan tunjuk ajar sekiranya berlaku sebarang aktiviti yang melibatkan seksual kanak-kanak,” katanya.