Tidak pelik jika UMNO-DAP bekerjasama - Utusan Malaysia

Tidak pelik jika UMNO-DAP bekerjasama

ABDUL AZIZ BARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
KETIKA kemelut politik Perak baru-baru ini, timbul cadangan kerjasama antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP. Ketika itu, pemimpin PH mengakui memang wujud perbincangan ke arah kerjasama itu namun akhirnya tidak menjadi kenyataan.
Cadangan itu dilihat merintis jalan kepada kerjasama UMNO-PH pada masa akan datang. Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berpandangan ia tidak mustahil berlaku. Bersama wartawan Utusan Malaysia, SAYED HESHAM IDRIS, Abdul Aziz mengulas perkara itu.

 

UTUSAN: Bolehkah UMNO dan PH, khususnya DAP bekerjasama?
ABDUL AZIZ: Orang kata politik ini the art of possible, jadi macam-macam kemungkinan boleh berlaku. Cuma kalau orang rasa pelik sangat dengan apa yang berlaku, saya fikir orang juga perlu melihat atau mengambil kira apa yang berlaku sebelum ini. Contohnya, UMNO yang tak boleh kita jangka duduk semeja dengan Pas, sekarang sudah berlaku. Satu ketika dahulu, orang Pas mengkafirkan UMNO, buat dua masjid dan sebagainya, tak makan sembelihan orang UMNO dan sebagainya, tak pergi ziarah orang UMNO yang meninggal dan sebagainya, tapi sekarang sudah berlaku, bahkan dalam keadaan tertentu, dia (Pas) lebih Melayu daripada UMNO. Soal siapa yang berubah kita pun tak tahu.

Apakah elemen yang boleh mewujudkan kerjasama UMNO-PH?
ABDUL AZIZ: Kalau soal kerjasama UMNO-DAP nak dibangkitkan, DAP pernah bekerjasama dengan Pas.
Jadi ini saya fikir bukan satu benda yang pelik. Kita dalam PH pun dengan tegas telah mengatakan kita boleh kerjasama dengan siapa saja, sebab DAP dari segi parti kita tegas memerangi rasuah, kronisme, ketelusan, bertegas menuntut akuatanbiliti, kita menentang racisme, kita menjunjung Perlembagaan itu sendiri.

ADA kemungkinan terbentuknya jajaran baharu politik negara?
ABDUL AZIZ: Sesiapa pun boleh membuat jajaran politik baharu yang selaras dengan politik Perlembagaan, maka dia adalah kawan kita, jadi saya fikir kalau dilihat dari segi itu tidak pelik sangat, tidak mustahil, ertinya benda yang boleh berlaku. Politik, seperti yang saya katakan serba mungkin. Dan jangan lupa kadang-kadang kita terpaksa membuat anjakan oleh kerana perubahan yang kita tak dapat kawal. Kita semua tahu bagaimana kerajaan PH jatuh bukan kerana elemen atau kelemahan dalam PH, tapi ada beberapa orang yang lari ataupun ada agenda tertentu sendiri, jadi kerajaan PH itu tumbang.

Kemelut politik Perak baru-baru ini, bagaimana peranan Sultan Perak menyelesaikannya?
ABDUL AZIZ: DARI segi pe­ranan Sultan Perak, saya rasa tak ada apa-apa baharu. Kalau kita nak bercakap soal peranan istana, benda (perkara) ini sudah ditetapkan oleh Perlembagaan, oleh kerangka kita. Jadi kalau barangkali khalayak melihat ia sebagai benda yang baharu, mungkin sebab mereka sudah lupa apa yang berlaku sebelum ini.

Apakah kemelut politik ini perkara baharu?
ABDUL AZIZ: Saya tak nafikan kemelut ini adalah benda baharu atau benda yang tidak pernah berlaku. Ini timbul kerana sistem politik itu sendiri kerana kita sudah membuat anjakan, sistem politik kita bukan macam dulu lagi. Maksudnya, zaman yang kita kata zaman monolitik iaitu zaman UMNO BN dulu yang mana menggambarkan pembangkang ini sebagai musuh negara, sudah tidak ada. Maksudnya, UMNO sudah menjadi pembangkang sekarang di beberapa negeri sebelum ini dan kemudian di Persekutuan pun pernah jadi pembangkang, jadi sudah berubah.

Apakah istana juga membuat anjakan dalam menyelesaikan kemelut politik Perak baru-baru ini?
ABDUL AZIZ: Institusi pen­ting dan kritikal dalam politik kita hari ini seperti SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) malah media sendiri pun sudah ada sedikit sebanyak buat anjakan. Oleh kerana maknanya tidak secara langsung menyebabkan istana membuat anjakan juga, namun anjakan itu, itu masih berada dalam kerangka yang ditetapkan Perlembagaan. (Anjakan) Ini bukanlah benda (perkara) luar biasa, atau benda yang tak pernah berlaku atau di luar jangkaan.

Pembentangan Belanjawan Perak baru-baru ini menyaksikan pembangkang tidak mengasak kerajaan. Mengapa?
ABDUL AZIZ: Perkara itu kerana kita menyedari bahawa persidangan dewan berlaku selepas kerajaan jatuh tiba-tiba, jadi kerajaan itu kerajaan yang baru ditubuhkan. Saya tak kata mereka itu bersih seperti bayi baru dilahirkan, cuma persoalannya apa yang nak dipertanggungjawabkan kepada mereka? Memang individunya seperti Saarani Mohamad (Menteri Besar) memang sebahagian, tapi dari segi undang-undang ia adalah entiti yang berbeza. Dulu pentadbiran Ahmad Faizal (bekas Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu), sekarang pentadbiran Saarani. Dua pentadbiran yang berbeza, jadi kalau kita nak letakkan atau mempertanggungjawabkan mereka, ini tidak betul dan tidak adil.

Apakah pembangkang akan terus bersikap demikian terhadap kerajaan negeri?
ABDUL AZIZ: Bergantung pada keadaan, bagaimana kerajaan ne­geri menjalankan pentadbiran dan bagaimana menangani apa yang telah berlaku. Mahu tidak mahu, kerajaan sekarang harus memperbetulkan apa yang berlaku walaupun itu bukan kerja dia. Dari segi undang-undang, kalau kita lihat dari segi prinsipnya, apa yang dilakukan oleh kerajaan dahulu ditanggung oleh kerajaan sekarang walaupun bukan dia yang buat, contohnya ada hutang yang belum dibayar dia kena bayar. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN