TANAH MERAH: Amalan klinik swasta tertentu di bandar ini melakukan tapisan awal Covid-19 dengan mengambil kira alamat dalam MyKad sebelum menerima seseorang individu sebagai pesakit, menerima pelbagai reaksi orang ramai.
Rata-rata mereka menganggap ia agak ‘menyusahkan’ namun wajar selepas mengambil kira hampir semua premis itu ketika ini tidak mempunyai kelengkapan khusus dan pengetahuan terhad dalam menangani pandemik Covid-19.
Kakitangan swasta di Selangor, Fatin Saidi, 29, yang kini bercuti di Kelantan berkata, dia dan keluarganya memilih ke klinik kerajaan biarpun terpaksa menunggu lebih lama sehingga berjam-jam, susulan tapisan dibuat klinik swasta ketika ini.
“Dalam keadaan sekarang, semua orang sangat berjaga-jaga jadi tidak hairanlah jika klinik swasta juga mengambil sikap begitu. Walaupun menyusahkan, ia untuk kebaikan kita juga.
“Kita semua tahu klinik swasta beroperasi dengan bilangan tenaga kerja terhad manakala ruang klinik yang sempit pula tidak mampu mengasingkan pesakit bergejala atau dari lokasi zon merah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Pemilik kedai foto, Wan Muhammad Radzwan Wan Abd Aziz, 33, pula berkata, ketika negara sedang diuji dengan penularan Covid-19, langkah diambil klinik swasta bagi mengelak impak buruk pandemik itu perlu diterima semua pihak.
Menurutnya, sebagai peniaga, dia sendiri perlu membuat ‘tapisan’ sebagaimana saranan kerajaan termasuk mengamalkan setiap prosedur operasi standard (SOP) sebagai langkah berjaga-jaga terhadap risiko jangkitan wabak.
“Sekarang cuti sekolah dan ramai perantau balik ke kampung pada hujung tahun ini. Mahu tak mahu, kita perlu lebih memberi penekanan dalam aspek menjaga jarak dan kurangkan bertemu orang ramai.
“Andai saya sendiri atau ahli keluarga jatuh sakit, saya pilih pergi ke kinik kesihatan kerajaan yang mempunyai prosedur khas dan alatan lengkap untuk berdepan Covid-19.
“Kenapa masih mahu ke klinik swasta jika kualiti perkhidmatan klinik kerajaan lebih terjamin manakala bayaran dikenakan jauh lebih murah?” katanya.
-habis-










