SHAH ALAM: Sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-75 Sultan Selangor, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menitipkan titah ucapan istimewa kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Tengku Permaisuri Selangor bertitah, tahun ini jelas berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya kerana tidak ada perayaan diadakan pada hari istimewa baginda.
Dalam titahnya itu, Tengku Permaisuri Selangor menceritakan bahawa Sultan Sharafuddin setiap hari mengambil tahu perkembangan Covid-19 dengan bertanyakan statistik harian.
“Kalau orang dapat menyaksikan bagaimana baginda akan panik ketika melihat statistik harian, terutama ketika jumlah kes di Selangor meningkat.
“Soalan biasa Tuanku kepada saya setiap hari pada pukul 6.30 petang adalah ‘ahhh hari ni Selangor berapa ramai?.
“Jadi, kepada rakyat Selangor dan semua orang di Malaysia, ketahuilah bahawa anda semua sentiasa berada dalam doanya,” titah baginda menerusi laman sosial rasmi Facebook Selangor Royal Office.
Tengku Permaisuri Norashikin juga berkongsi bahawa Sultan Selangor sentiasa prihatin dan mengambil berat tentang individu yang berisiko dan kesejahteraan mereka adalah keutamaan baginda sejak bermulanya pandemik Covid-19.
Titahnya, Sultan Sharafuddin sering menitahkan bahawa pandemik Covid-19 diibaratkan satu ‘wake-up call’ untuk selalu bersyukur, hidup sederhana dan saling mendoakan serta paling penting adalah tetap bersatu.
“Sultan Sharafuddin begitu prihatin terhadap kesan terhadap rakyat telah menyentuh banyak hati. Peringatan dan sokongan berterusan baginda kepada barisan hadapan dan pihak berkuasa menunjukkan bahawa benar-benar mengambil berat dan menghargai setiap jiwa.
“Patik mendoakan kesihatan dan dilanjutkan usia kepada Sultan Sharafuddin serta dapat memerintah negeri dengan adil dan saksama,” titah Tengku Permaisuri Selangor. – UTUSAN ONLINE










