PUTRAJAYA: Kementerian Luar hari ini mengumumkan pemilihan Datuk Sudha Devi K. R. Vasudevan sebagai Pengerusi Yayasan Komanwel bagi terma dua tahun bermula 1 Januari depan.
Menurut kenyataan Wisma Putra di sini, keputusan itu dicapai ketika Mesyuarat Luar Biasa Lembaga Gabenor Yayasan Komanwel diadakan secara maya pada 28 Oktober lalu di London, Britain.
“Keputusan ini seterusnya diperakui oleh Ketua-ketua Kerajaan Komanwel pada 7 Disember lalu. Malaysia menerima undian terbanyak semasa pemilihan tersebut,” katanya.
Kenyataan tersebut menambah, calon Malaysia mengatasi tiga calon lain iaitu masing-masing dari Cameroon, Kenya dan Papua New Guinea. Yayasan Komanwel ditubuhkan pada 1966.
Pelantikan Sudha Devi sebagai pengerusi adalah amat bersejarah kerana beliau merupakan wakil Malaysia dan juga pengerusi pertama dari rantau Asia yang dilantik mengetuai yayasan itu.
“Sebelum ini, Sudha Devi berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia dan Duta Besar Malaysia ke Brazil. Beliau juga pernah menyandang pelbagai jawatan diplomatik di Jerman, Singapura dan Switzerland,” katanya.
Sepanjang perkhidmatan di kementerian, beliau pernah menjawat Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Dasar dan Penyelarasan, Setiausaha Bahagian Asia Timur dan Timbalan Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia.
Yayasan Komanwel ditubuhkan untuk menggalakkan penglibatkan rakyat dalam dialog awam bagi saling bertukar pandangan dan bertindak bersama membina masyarakat demokratik.
Yayasan ini juga berperanan untuk memastikan setiap institusi kerajaan dan polisi menyumbang kepada pembangunan melalui pengaruh suara rakyat.
Selaku pengerusi, Sudha bakal mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Gabenor, mewakili yayasan di mesyuarat dan upacara antara kerajaan dan sebagai duta Yayasan Komanwel.
“Malaysia merakamkan setinggi penghargaan kepada negara anggota Yayasan Komanwel atas sokongan diberi terhadap pelantikan itu,” kata kenyataan tersebut.
Malaysia turut komited untuk terus menyokong Yayasan Komanwel dalam mencapai visi dan matlamatnya, dan dalam mengetengahkan peranannya sebagai suara warga Komanwel. – UTUSAN ONLINE










