Sindiket kontraban disiasat PDRM - Utusan Malaysia

Sindiket kontraban disiasat PDRM

ANTARA barangan bercukai yang cuba diseludup berjaya dirampas pihak berkuasa dalam serbuan di Telok Gong, Pelabuhan Klang, Selangor, September lalu. - GAMBAR FAIL UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menjalin hubu­ngan dengan individu berpe­ngaruh bagi ‘menghalalkan’ wang haram hasil daripada akti­viti penyeludupan barangan bercukai (kontraban) seperti rokok dan arak.

Bukan itu sahaja, sindiket yang ‘dilindungi’ individu berpengaruh tersebut juga mampu membuka syarikat yang didaftar secara sah, namun di sebalik perniagaan yang dijalankan terdapat aktiviti haram seperti penyeludupan rokok dan arak.

Itu helah digunakan lebih lima sindiket terbesar kontraban yang kini dalam radar Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang aktif sejak beberapa tahun lalu.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sumber membe­ritahu, terdapat sindiket yang dikenal pasti turut dipercayai diberikan lesen mengimport rokok dan arak dari negara jiran.

Bagaimanapun, kata sumber, sindiket terbabit dipercayai membeli setem cukai rokok tulen dikeluarkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam kuantiti kecil sebelum mengulang cetak ratusan ke­ping setem palsu.

Setem palsu itu kemudian dilekatkan pada setiap kotak rokok sebelum dipasarkan bertujuan menunjukkan seolah-olah sudah membayar cukai, walhal hanya sebahagian rokok atau arak itu mempunyai setem cukai sah.

“Bukan itu sahaja, ada antara sindiket itu dikesan mengisytiharkan kontena membawa pelbagai barangan lain tetapi sebenarnya yang dibawa masuk adalah rokok atau arak seludup.

“Malah ada antara mereka mengeksploitasi sistem transshipment di pelabuhan-pelabuhan utama untuk menurunkan kontena berisi barangan itu di gudang sementara ko­nonnya untuk dihantar ke negara jiran. Namun rokok dan arak ini tidak pun sampai ke destinasi yang dituju, sebaliknya dilambakkan di pasaran gelap,” katanya.

Dalam pada itu, kata sumber lagi, hukuman yang dianggap tidak berat dikenakan kepada penyeludup menjadi salah satu punca sindiket-sindiket tersebut kembali aktif meskipun pernah diambil tindakan sebelum ini.

Ujar sumber, dalam tempoh 2018 sehingga Ogos lalu, seba­nyak 1,244 kertas siasatan dibuka PDRM yang mana 560 kes masih dalam siasatan dan tiada tindakan lanjut (560) membabitkan penyeludupan rokok.

“Meskipun PDRM mengenal pasti semua yang terlibat termasuk ‘kepala’ sindiket ini tetapi untuk kaitkan mereka dengan aktiviti ini adalah sukar, memandangkan akta sedia ada tidak kuat untuk mendakwa mereka.

“Malah peruntukan undang-undang sedia ada terhadap aktiviti penyeludupan ternyata tidak menggerunkan mereka,” jelasnya.

ABDUL HAMID BADOR

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (gambar) ketika ditemui Utusan Malaysia mengesahkan ke­giatan berkenaan berlaku.

Kata beliau, hasil perbinca­ngan bersama beberapa agensi lain menerusi Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) mendapati, banyak jenayah kewangan dikenal pasti berlaku di negara ini.

Ujarnya, terdapat transaksi yang tidak melalui proses rasmi dikesan bukan sahaja hasil kegia­tan penyeludupan rokok dan arak malah daripada pe­ngubahan wang haram, peni­puan, pelacuran, pemerdagangan manusia serta pengedaran dadah.

“Ini bermakna tiada cukai kerajaan dikenakan terhadap mereka dan ini menunjukkan betapa negara kita rugi berbi­lion-bilon ringgit susulan pe­ngaliran keluar wang secara ha­ram.

“Saya serius dalam membanteras aktiviti jenayah kewangan ini. Kita pernah mengambil tindakan Akta Kesalahan Ke­selamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) terhadap individu yang terlibat dalam apa sahaja aktiviti haram ini,” tegasnya.

Ogos lalu, Utusan Malaysia melaporkan kes penyeludupan manusia, ketum, arak, rokok dan lain-lain barang tidak sah dikaitkan dengan lorong tikus.

Namun realitinya, pintu utama kemasukan barang terlarang seperti rokok dan arak, 60 peratus berlaku di pelabuhan di seluruh negara. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN