Sekadar suara keinginan, bukan memaksa - Utusan Malaysia

Sekadar suara keinginan, bukan memaksa

MOHAMMAD Nursyabil Syakirin Mohammad Nordin dan Norhayati Abu Bakar melihat keratan akhbar mengenai laporan kes culik membabitkan dirinya ketika berusia enam hari di Sungai Lalang, Sungai Petani, Kedah, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Keluarga kepada pelajar yang menjadi mangsa culik di Hospital Sungai Petani, di sini 15 tahun lalu tidak memaksa wanita yang pernah bekerja sebagai jururawat di hospital itu berjumpa dengan mereka jika masih tidak bersedia berbuat demikian.

Norhayati Abu Bakar, 45, berkata, dia memahami perasaan wanita terbabit yang mungkin enggan ditemui kerana tidak mahu mengimbau kejadian hitam tersebut.

“Anak saya hanya menyuarakan keinginannya untuk bertemu ‘ibu’ lima harinya itu selepas melihat keratan akhbar berkaitan kes membabitkan dirinya.

“Kami sekadar memaklumkan kepadanya apa yang terjadi berdasarkan pengetahuan kami ketika kejadian itu dan tidak tahu cerita sebenar di sebaliknya,” katanya di sini semalam.

Utusan Malaysia semalam melaporkan seorang pelajar berhasrat bertemu dengan seorang bekas jururawat yang menculiknya di wad bersalin, Hospital Sungai Petani i kira-kira 15 tahun lalu.

Mohammad Nursyabil Syakirin Mohammad Nordin, 15, yang kini menetap di Sungai Lalang di sini berkata, dia berhasrat berjumpa dengan ‘ibu’ sementaranya bagi mengetahui punca sebenar dia diculik pada 19 Jun 2005 lalu.

Kata Norhayati, anaknya pernah beberapa kali menyuarakan hasrat untuk berjumpa wanita terbabit terutama selepas dia meningkat remaja sekarang.

“Disebabkan kami sendiri tidak mengetahui perkembangan jururawat itu termasuk di mana tempat tinggalnya, hasrat anak kami itu tidak dapat dipenuhi sehingga sekarang,” ujarnya.

Menurutnya, walaupun kejadian pada 19 Jun 2005 itu masih kekal dalam ingatan, namun kini dia sekeluarga tidak pernah sama sekali menyimpan dendam terhadapnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN