Saintis wanita Unimap terima anugerah UNESCO - Utusan Malaysia

Saintis wanita Unimap terima anugerah UNESCO

PROF. MADYA DR. UMI FAZARA MD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Kejuteraan Kimia Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Madya Dr. Umi Fazara Md. Ali menerima pengiktirafan antarabangsa selepas dipilih menerima anugerah LÓreal-UNESCO For Woman In Science 2020 menerusi penyelidikannya yang memberi fokus kepada aspek pemanasan global dan perubahan iklim.

Kejayaan tersebut membolehkan beliau menerima geran penyelidikan bernilai RM30,000 bagi mengendalikan kajiannya yang bertajuk Production of Novel Adsorbent From Agricultural Waste Functionalized With Deep Eutectic Solvent (DES) For CO2 Capture and Utilization (CCU).

Umi Fazara berkata, hasil kajiannya yang menggunakan sisa buangan pertanian terutama kelapa sawit sebagai satu penyelesaian kepada pembebasan gas karbon dioksida (CO2) yang merupakan gas rumah hijau terdapat di dalam atmosfera bumi.

“Peningkatan gas CO2 ini menyebabkan berlakunya peningkatan suhu di bumi seterusnya mengurangkan udara bersih. Ia memberi kesan dan impak cukup besar kepada pemanasan global dan perubahan iklim di dunia.

“Sehingga kini, kita masih berdepan dengan isu kesedaran awam yang mana masyarakat belum memahami dan menghayati betapa seriusnya fenomena perubahan iklim. Oleh itu, saya tampil dengan hasil kajian ini yang mampu memerangkap gas CO2 untuk kegunaan pelbagai proses kimia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau adalah penerima kelima pengiktirafan tersebut dari Unimap yang sebelum ini turut dianugerahkan kepada Prof. Madya Dr. Ong Hui Lin pada tahun 2010, Prof Madya Dr. Ruslinda A. Rahim (2012), Prof. Madya Dr. Hakimah Osman (2013) dan Prof. Madya Dr. Norhafiza Mohamad (2014).

Sementara itu, Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, persepsi, ketokohan atau kerjaya saintis yang seringkali dikaitkan dengan lelaki perlu diubah bagi memberi peluang kepada saintis wanita meningkatkan lagi keupayaan dan potensi mereka di persada dunia.

Ujarnya, persepsi tersebut bukan berpunca daripada kemampuan mahupun keupayaan mereka sendiri, sebaliknya lebih kepada kurangnya peluang dan platform untuk saintis wanita menonjolkan diri dan meningkatkan ruang kesaksamaan kepada semua penyelidik.

“Saya menyambut baik inisiatif LÓreal dalam meneruskan penganugerahan Woman In Science namun mengharapkan lebih banyak inisiatif seperti ini dianjurkan oleh pengamal industri.

“Di Unimap, kami mengambil beberapa inisiatif memastikan saintis dan penyelidik wanita di universiti ini terus diberikan peluang dan ruang yang sama seperti penyelidik dan saintis lelaki termasuk mengetengahkan mereka dalam pelbagai platform persidangan, pertandingan penyelidikan dan program mobiliti di dalam dan luar negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya