KUALA LUMPUR: Selepas dicap sebagai hab pelacuran Asia dengan mengatasi Thailand, didakwa wanita Rusia dan Uzbekistan dikelaskan sebagai pelacur paling mahal manakala Vietnam paling laris.
Caj khidmat persundalan setiap wanita berbeza mengikut negara, fizikal dan permintaan.
Mengikut sumber, trend terkini ialah wanita Rusia dan Uzbekistan paling mahal dan aktiviti mereka banyak berlaku di hotel dengan membabitkan pelanggan mewah.
“Bayaran buat pelacur Rusia dan Uzbekistan mencatatkan harga paling mahal iaitu antara RM500 sehingga lebih RM1,000 bergantung kepada `sekali pakai’, atau peneman semalaman,” kata sumber.
Dedah sumber itu, warga Rusia dan Uzbekistan juga banyak dipilih menjadi `teman sosial’ atau `escort girl’ kepada lelaki warga asing yang menetap atau melancong ke Malaysia.
Bagaimanapun, sumber berkenaan memaklumkan, jika mengambil kira dari segi `kelarisan’, pelacur Vietnam mengatasi pelacur lain-lain negara termasukThailand, China, Indonesia atau Filipina.
Kata sumber, caj bagi pelacur Vietnam antara RM90 sehingga RM250 bergantung kepada paras rupa, kawasan dan kepuasan pelanggan.
“Jika dahulu pelacur Siam berada di kedudukan teratas kini pelacur Vietnam menjadi pilihan dalam kalangan warga tempatan terutama berketurunan Cina.
“Tarikan wanita Vietnam kerana rupa paras mereka yang didakwa cantik, putih dan ala wanita keturunan Cina tempatan,” cerita sumber.
Dedah sumber lagi, aktiviti pelacuran di Malaysia memang rancak dan tidak pernah `terlelap’ walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.
Masalah sosial tersebut, jelas sumber itu, bukan rahsia dalam kalangan yang gemar `keseronokan di luar’ dengan modus operandi mencari, menempah dan lokasi melempias nafsu semua dalam tangan mereka.
“Siasat di Selangor sahaja memadai untuk membongkar aktiviti pelacuran malah kawasan Bandar Baru Klang iaitu sebuah kawasan baru membangun juga ligat dengan pelacur dalam kalangan Vietnam dan Indonesia.
“Aktiviti persundalan tersebut didakwa berlaku tidak jauh dari balai polis di situ malah pernah diserbu pasukan Bukit Aman namun aktiviti tersebut masih berterusan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sendiri mengakui atas permintaan tinggi terhadap pelacur atau gadis pelayan pelanggan (GRO) menjadi punca ramai gadis-gadis warga asing memilih Malaysia untuk bekerja.
Menurut beliau, meskipun sudah beribu-ribu ditangkap dan diusir tetapi kegiatan itu semakin berleluasa.
“Tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) akan diambil terhadap `bapa ayam’ serta ketua sindiket pelacuran tetapi belum dapat menyelesaikani itu tersebut.
“Polis juga telah meminta kerjasama Jabatan Imigresen untuk mengisytiharkan persona non grata ke atas pekerja-pekerja seks asing ini agar mereka tidak lagi boleh kembali ke Malaysia seumur hidup,” kata beliau ketika dihubungi Mingguan Malaysia semalam.
Utusan Malaysia semalam mendedahkan kebanjiran wanita warga asing dalam kumpulan umur belasan tahun dan di bawah 40-an pelbagai bangsa dan negara untuk bekerja sebagai GRO menjadikan negara ini hab pelacuran di rantau ini.
Baru-baru ini pula, sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan ramai wanita GRO lolos masuk menerusi kaunter khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.
Dianggarkan lima hingga 10 kaunter khas dibuka pada satu-satu masa dengan dijaga pegawai Imigresen yang sudah dibayar ejen membawa masuk warga asing berkenaan. – MINGGUAN










