Risau Awang Batil hilang di Perlis - Utusan Malaysia

Risau Awang Batil hilang di Perlis

ROMLI Mahmud berkongsi tentang kesenian Awang Batil di Kampung Pokok Sena, Chuping, Padang Besar, Perlis. - UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Sebagai pewaris terakhir Awang Batil, Romli Mahmud atau lebih mesra dengan panggilan Bang Li pastinya runsing memikirkan masa depan kesenian tersebut jika dia sudah tiada nanti.

Apakah kesenian yang berusia ratusan tahun itu bakal pupus ditelan arus moden selepas dalam kalangan generasi muda sekarang dilihat sudah tidak lagi berminat mempelajari atau mewarisinya.

Kebimbangan itu sangat dirasai Romli, 66, yang pastinya menjadi insan paling terkesan jika tidak menemukan pewaris benar-benar layak menggantikan tempatnya kelak.

Setakat ini, difahamkan terdapat dua anak didik Romli yang berpotensi menggantikan tempatnya, namun mereka dikatakan masih perlu menguasai permainan beberapa lagi alatan muzik bagi menyempurnakan persembahan tersebut.

Kelima-lima anak Romli pula tidak menunjukkan minat mengikuti jejak langkah bapa mereka walaupun salah seorang daripadanya pernah cuba untuk belajar, namun tidak kekal lama.

“Orang muda hari ini dilihat sudah tidak minat lagi belajar seni ini (Awang Batil). Ada yang cuba belajar tetapi tidak mampu menguasai kesenian ini. Bang Li kadangkala susah hati juga sekiranya tidak ada lagi Awang Batil yang menghiburkan kita.

“Nak belajar Awang Batil bukan sahaja memerlukan bakat dan minat tetapi menuntut komitmen berterusan. Ada yang datang (belajar), tidak sampai seminggu sudah putus ada, ada juga yang memang tidak boleh walaupun mencuba banyak kali,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pokok Sena, Chuping di sini.

Menurut Romli, dia pernah cuba menurunkan ilmu hikayat Awang Batil ini kepada anaknya namun mereka lebih meminati bidang lain.

“Anak-anak saya sendiri setakat ini tidak berminat untuk mempelajari seni ini. Buktinya, lihat sahaja di halaman rumah kami yang penuh dengan motosikal apabila seorang anak saya kini memilih menjadi pomen.

“Tidak semestinya Awang Batil diwariskan daripada bapa kepada anak yang penting kena ada seni selain minat yang mendalam,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, masih terdapat dalam kalangan mereka yang berminat mempelajari seni berkenaan dan dia sudah me­ngenal pasti dua orang anak didiknya yang berpotensi.

“Mereka boleh menjadi tukang karut yang baik selain boleh bermain serunai. Namun, ia tidak sempurna tanpa biola dan rebana. Mereka perlu berusaha menguasai dua perkara tersebut sebelum menjadi Awang Batil yang sempurna,” katanya.

Untuk rekod, Romli, yang merupakan generasi kelima Awang Batil menjadi penglipur lara tersebut agak lewat ketika berusia 41 tahun pada 1997, iaitu 23 tahun selepas bapanya, Allahyarham Mahmud Wahid atau Pak Mahmud menamakan dia sebagai pewaris dalam sebuah persembahan di Kuala Lumpur sekitar tahun 1974.

Di usia emasnya kini, Romli juga telah diiktiraf sebagai ‘Orang Warisan’ oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) selain diisytihar sebagai Tokoh Orang Hidup 2015 oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan pada tahun berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN